KOTA KINABALU: Lebih kurang 20,000 warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhadapan dengan krisis air meskipun pelbagai langkah telah diambil oleh pihak universiti untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Antara langkah yang telah diambil oleh UMS sejak dari awal, menurut Timbalan Naib Canselor Profesor Madya Dr. Raman Noordin, termasuk menggunakan perkhidmatan lori tangki Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melibatkan 400,000 liter air sehari.

"Bekalan ini diperolehi daripada Loji Rawatan Air Moyog, Penampang, melibatkan 20 kali penghantaran lori tangki air sehari atau anggaran kapasiti sehingga 400,000 liter sehari dibekalkan untuk kegunaan kolej kediaman pelajar dan juga bangunan sekitar dalam kampus," ujar Raman dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Antara lain, UMS juga menurut beliau telah membuat satu sistem perpaipan daripada punca air bukit, dalam kampus yang mampu membekalkan air sehingga 80,000 liter sehari.

Sebanyak RM350,000 turut diperuntuk bagi pelaksanaan inovasi bekalan sumber air dalaman seperti air graviti, air bawah tanah dan air hujan selain tangki-tangki tambahan di luar kolej-kolej kediaman yang lengkap dengan sistem pam dan perpaipan turut disediakan.

Mengulas mengenai isu air yang ditularkan oleh beberapa pelajar UMS di laman sosial baru-baru ini, Raman berkata masalah bekalan air yang dihadapi universiti terbabit turut dirasai secara menyeluruh oleh penduduk sekitar Tuaran, Tamparuli, dan Sepanggar.

"Ia memandangkan loji yang membekalkan air terawat di kawasan-kawasan ini iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Telibong, Tuaran hanya mampu menghasilkan bekalan air terawat sekitar 164 juta liter sehari (MLD) berbanding keperluan sebenar sebanyak 190 MLD.

"Pada masa yang sama, kerja-kerja pemindahan dan naik taraf saluran paip di sepanjang jalan Pan Borneo juga sedang dijalankan. Maka dengan itu, pihak JANS mengambil pendekatan mengadakan catuan bekalan air.

"Kampus induk UMS sahaja memerlukan sekitar 3 MLD hingga 5 MLD sehari untuk menampung keperluan air terawat di dalam kampus," Raman menambah.

Terdahulu, tular ciapan di Twitter mengenai isu air UMS yang didakwa mengganggu aktiviti seharian warga universiti tempatan itu baru-baru ini.