Belajar dari sejarah, tanpa integriti kemerdekaan negara terancam - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin menyuarakan keperluan institusi seperti Institut Integriti Malaysia (IIM) untuk menggunakan pendekatan strategik dalam menangani cabaran integriti negara. - Gambar fail/Bernama
IPOH: Generasi kini perlu menjadikan sejarah sebagai pengajaran bahawa tanpa integriti, kemerdekaan dan kedaulatan negara boleh terancam, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.
Ringkasan AI
- Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, menegaskan pentingnya integriti dalam memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara, serta menekankan pengajaran dari sejarah sebagai panduan untuk setiap individu yang memegang amanah.
- Baginda mengingatkan bahawa wujudnya kes rasuah dan penyelewengan di dalam negara, dengan laporan kerajaan mendapati pemulangan RM15.5 bilion dana awam daripada pelaku rasuah dan pengubahan wang haram dalam dua tahun terakhir.
- Sultan Nazrin menyuarakan keperluan institusi seperti Institut Integriti Malaysia (IIM) untuk menggunakan pendekatan strategik dalam menangani cabaran integriti negara, walaupun menghadapi kekangan dana dan sumber tenaga yang terhad.
"Filsuf George Santayana menyatakan, 'Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan dikutuk kerana mengulanginya.' Dibimbangi sikap tidak belajar dari sejarah sedang berlaku di hadapan mata kita," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional (SBIN) 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Ketua Setiasaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang juga Pengerusi Institut Intergriti Malaysia (IIM).
Sultan Nazrin bertitah, kepimpinan negara sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan integriti, termasuk pelancaran Pelan Integriti Nasional pada 23 April 2004, serentak dengan penubuhan IIM ketika pemerintahan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Bagaimanapun, titah baginda, selepas 20 tahun berlalu, kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah masih kurang memuaskan, dengan perlakuan rasuah dan penyelewengan masih berlaku.
Titah baginda, bukti ini dapat dilihat melalui laporan kerajaan yang memperoleh kembali RM15.5 bilion dana awam daripada pelaku rasuah dan pengubahan wang haram dalam tempoh dua tahun terakhir.
"Akhbar saban hari melaporkan berita tangkapan, siasatan, pendakwaan dan perbicaraan kes-kes rasuah, pecah amanah, ketirisan sumber, kronisme dan salah guna kuasa.
"Akhbar mendedahkan wujudnya kartel merajai industri ayam, ikan, beras serta pelbagai perkhidmatan, lambakan pekerja asing tanpa izin, penerokaan tanah secara haram, kilang haram, pusat judi, pusat hiburan, rumah urut dan sarang pelacuran tanpa lesen, pencemaran alam, setiap satunya berlaku secara terbuka dan terang-terangan.
"Negara turut diaibkan di peta dunia kerana skandal kewangan terbesar dalam sejarah, yang membebankan negara dengan hutang, sekali gus menjejaskan pembangunan ekonomi dan nilai mata wang," titah baginda.
Justeru baginda bertitah pihak seperti IIM perlu menggunakan kebijaksanaan dan pendekatan strategik memberi tumpuan kepada keutamaan paling kritikal dalam menangani kemelut integriti negara.
"Pendekatan strategik perlu difikirkan, dan langkah bijak sewajibnya dirintis, agar usaha untuk menyemai nilai integriti membuahkan hasil, memastikan IIM cukup bertenaga, dan berupaya "membuang yang bengkok - mengambil yang lurus; jika berladang biar menjadi - jika bersawah biar berpadi"," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah IIM telah diberikan skop tugas yang luas dan tanggungjawab besar dengan dana terhad serta sumber tenaga yang terbatas, institut itu semestinya menghadapi cabaran apabila diharap melakukan keajaiban pencapaian menangani kemelut integriti yang sedang melanda.
"Dengan dana dan sumber tenaga yang terhad, ibarat memiliki kain panjang sehasta, IIM memerlukan kebijaksanaan agar kain sesingkat itu, dipastikan dapat menyelimuti organ tubuh yang paling wajib ditutupi," titah baginda.
Baginda bertitah peruntukan untuk institut itu telah meningkat hampir empat kali ganda daripada RM5 juta pada 2004 kepada RM18 juta pada 2024, namun tetap berdepan jangkaan untuk "melakukan keajaiban pencapaian" dalam menangani isu integriti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


