Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Isu buli: KPM perkukuh latihan, fokus psikologi dan emosi murid

Madiha Abdullah 28/10/2025 | 08:00 MYT
Wong berkata, KPM mengiktiraf peranan guru warden dan guru disiplin sebagai barisan hadapan dalam menangani isu buli di sekolah.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh usaha menangani isu buli di sekolah dengan memberi tumpuan kepada latihan berfokus aspek psikologi, kaunseling dan kesejahteraan emosi murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menegaskan pihaknya memandang serius isu keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah, selain mengiktiraf peranan guru warden dan guru disiplin sebagai barisan hadapan dalam mengesan tanda-tanda awal murid yang berisiko menjadi pembuli atau mangsa buli.

“KPM sentiasa prihatin dan memandang serius isu keselamatan serta kesejahteraan murid di sekolah. Guru warden dan guru disiplin merupakan barisan hadapan dalam mengesan tanda awal murid yang berisiko menjadi pembuli atau mangsa buli.

"Pada tahun 2024, KPM telah melaksanakan latihan khusus kepada guru bimbingan dan kaunseling dengan kerjasama pakar trauma dan gangguan seksual. Latihan itu melibatkan 1,788 peserta, terdiri daripada 1,558 guru bimbingan dan kaunseling serta 230 kaunselor pendidikan, yang kemudiannya dilantik sebagai jurulatih utama," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Usaha itu diperluaskan pada tahun 2025 apabila latihan sama diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), melibatkan 8,244 guru termasuk guru warden, guru disiplin dan guru akademik.

Bagi tahun 2026, KPM memberi keutamaan kepada pelaksanaan latihan Psychological First Aid (PFA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Latihan ini akan diperluaskan ke seluruh negara melalui JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah.

KPM juga memperkukuh pelaksanaan program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) sebagai kumpulan sokongan psikologi dan rujukan di sekolah. Sehingga tahun 2024, seramai 500 pengetua dan guru besar telah ditauliah sebagai Akrab, manakala 312 pegawai KPM dan JPN disasarkan menyertai latihan itu tahun ini.

“Program Akrab ini mendedahkan guru kepada asas psikologi dan kaunseling agar mereka boleh menjadi rujukan serta sumber sokongan kepada murid di sekolah,”katanya.

Pada masa yang sama, KPM memperkenalkan Program Sistem Keluarga Asrama, berkonsepkan homeroom, mentor-mentee dan sistem rumah bagi memperkukuh hubungan guru dan murid. Melalui program ini, guru memainkan peranan seperti ibu bapa dengan memberi perhatian kepada aspek emosi, rohani, sosial dan akademik murid.

“Melalui pendekatan sistem keluarga asrama ini, guru berperanan seperti ibu bapa, memberikan perhatian yang lebih dekat terhadap emosi, rohani dan akademik murid,” katanya lagi.




#buli #Kementerian Pendidikan #Wong Kah Woh #KPM