KUALA LUMPUR: Isu 'coklat RM2 juta untuk big boss' dan 'Perdana Menteri' masih menjadi fokus utama dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, hari ini.

Perkara itu dibangkitkan dalam sesi soal balas Pegawai Penyiasat Jabatan Forensik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd Firdaus Wan Yusof oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim.

Wan Mohd Firdaus berkata, dalam perbualan WhatsApp antara Pengarah syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan, G. Gnanaraja, pada 17 Ogos 2017 menyatakan bahawa 'coklat' adalah untuk 'big boss'.

Gobind: Adakah 'big boss' merujuk kepada Perdana Menteri ketika itu?

Wan Mohd Firdaus: Tidak.

Perdana Menteri ketika itu adalah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi kelapan itu juga bersetuju dengan peguam bahawa dalam perbualan WhatsApp membabitkan individu sama pada 23 Julai 2017 menyatakan antaranya mengenai majlis memotong kek sempena sambutan hari jadi seseorang dikenali sebagai 'big boss' di sebuah kediaman di Taman Duta.

Gobind seterusnya menyatakan bahawa jelas 'big boss' tidak merujuk kepada anak guamnya kerana Lim tidak tinggal di Taman Duta dan hari lahirnya bukan pada 23 Julai.

Dalam pada itu, Wan Mohd Firdaus bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa dalam perbualan itu juga tidak menyatakan wang RM2 juta tidak dibayar kepada Lim.

Wan Shaharuddin: Ada tak dalam laporan forensik perbualan (WhatsApp) menyatakan wang RM2 juta dibayar kepada orang lain?

Wan Mohd Firdaus: Tidak.

Wan Shaharuddin: Adakah dalam laporan perbualan itu langsung tidak menyebut perkataan CM (ketua menteri) Lim Guan Eng?

Wan Mohd Firdaus: Perbualan oleh Gnanaraja bertarikh 17 Ogos 2017 pada 6.14 petang menyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, manakala daripada Datuk Zarul pada 5.15 petang menyatakan "menginap di Pulau Pinang tuan, Ketua Menteri tangguh mesyuarat saya dengan beliau, 7 malam."

Sementara itu, Gobind berkata pihaknya memohon penzahiran dokumen mengenai laporan forensik perbualan WhatsApp tersebut.

Hakim Azura Alwi kemudian mengarahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan tersebut sebelum 15 Feb dan tarikh pendengaran ditetapkan pada 15 Mac ini.

Lim, 62, berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut dan dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Lim, juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu. - BERNAMA