GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada pagi ini.
Kehadiran beliau dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna dana zakat yang dikaitkan dengannya.
Advertisement
Kelihatan kenderaan jenis Proton X70 yang membawa beliau memasuki pekarangan pejabat agensi berkenaan kira-kira jam 9.48 pagi sebelum beliau melangkah masuk ke bangunan tersebut bersama seorang pembantu manakala seorang lagi pegawainya tiba tidak lama kemudian.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Difahamkan, kehadiran Mohamad yang juga Yang Dipertuan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang adalah untuk dirakam keterangan susulan siasatan yang dimulakan selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membangkitkan isu berkenaan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun lalu.
Pada akhir bulan lalu, SPRM dilaporkan telah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan penelitian dan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Karunanithy sebelum ini memaklumkan bahawa siasatan dijalankan bagi mengesahkan dakwaan yang timbul serta menentukan sama ada wujud sebarang unsur salah laku atau isu berkaitan tadbir urus.
Sebelum ini, aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin berkongsi kenyataan seorang penyelaras Peta, Azam Melaka berkaitan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri. - Sinar Harian