KUALA LUMPUR: Hartal Doktor Kontrak mendesak Kementerian Kesihatan (KKM)  memasukkan sekretariat itu sebagai sebahagian daripada ahli dalam Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi mewakili golongan berkenaan.

Sekretariat itu percaya usaha kerajaan bagi menangani masalah doktor kontrak tidak akan memberi sebarang impak atau membawa kepada penyelesaian sekiranya tiada wakil kumpulan itu dalam jawatankuasa berkenaan. 

"Isu doktor kontrak ini tidak akan memberi sebarang impak jika tiada perwakilan dalam jawatankuasa itu, sebaliknya ia akan jadi sama seperti yang dilakukan oleh jawatankuasa-jawankuasa lain sebelum ini.

"Sehubungan itu, kami menggesa Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan) memasukkan Hartal Doktor Kontrak sebagai ahli jawatankuasa untuk mewakili doktor kontrak dengan sewajarnya dalam jawatankuasa itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Sekretariat Hartal Doktor menyatakan pegawai perubatan kontrak tidak terbabit dan tiada sebarang pengaruh secara langsung atau tidak langsung dalam mogok yang diadakan mulai hari ini sehingga Rabu ini.

"Walaupun kami tidak terbabit, kami percaya mereka ada hak untuk membantah dan menyerahkan keadaan bantahan kepada mereka.


"Kami berharap penjagaan pesakit tidak terjejas dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dapat disambung semula selepas bantahan selesai," katanya.

Menurutnya, pendirian itu sudah dijelaskan kepada Dr Zaliha,  Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan media sebelum ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, langkah lain adalah menubuhkan suruhanjaya penjagaan kesihatan negara yang akan menyelia, memutuskan dan menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di dalam negara.

"Kami akan bekerjasama dengan menteri kesihatan dan menteri lain untuk mempercepatkan proses berkenaan," katanya.

Pada Sabtu, Dr Zaliha berkata, Kabinet bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi melibatkan beberapa kementerian dan agensi bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak.

Ujarnya, pembentukan jawatankuasa itu beberapa hari sebelum mogok dilancarkan sekumpulan doktor kontrak daripada sektor kesihatan awam.