Isu Grok: MCMC dijangka bertemu penyedia platform X minggu depan

Fahmi Fadzil berkata, MCMC dijangka mengadakan pertemuan dengan penyedia platform media sosial X pada minggu depan. - Bernama
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka mengadakan pertemuan dengan penyedia platform media sosial X pada minggu depan susulan kontroversi melibatkan chatbot kecerdasan buatan (AI), Grok yang digantung sementara sebelum ini," kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
"Setakat pukul 10 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan mereka berhubung dengan pihak X untuk cuba mengadakan pertemuan pada minggu hadapan.
"Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu disahkan sebelum pertemuan itu berlangsung. Buat masa ini, kita sedang menantikan maklum balas daripada pihak X," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi, di sini pada Rabu.
Selasa lalu, Fahmi memaklumkan MCMC sedang mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap platform X berikutan kegagalan memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan dalam talian menerusi aplikasi AI miliknya, Grok.
Tindakan itu susulan kegagalan platform berkenaan mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian, khususnya berhubung kandungan berbahaya dan pendedahan kepada kanak-kanak.
Grok digantung sementara pada Ahad lalu selepas dikesan berulang kali disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah, berunsur seksual, tidak senonoh, sangat menyinggung perasaan serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk melibatkan wanita dan kanak-kanak bawah umur.
Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil tindakan tegas terhadap Grok. Beberapa negara lain termasuk Indonesia dilaporkan telah menyekat aplikasi berkenaan, manakala United Kingdom pula sedang meneliti isu sama.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata beliau turut menghadiri mesyuarat bersama Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, Tan Sri Hasnah Hashim serta satu lagi pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pada Selasa.
Menurutnya, perbincangan tertumpu kepada cabaran semasa dalam pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu.
"Jawatankuasa ini akan membantu memantau dan mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan kemudaratan dalam talian," ujarnya.
Pada Disember lalu, MCMC memaklumkan ONSA memperkenalkan rangka kerja kawal selia yang memperincikan tanggungjawab platform digital dalam mengurus kandungan berbahaya, termasuk berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, pornografi, kandungan lucah dan perbuatan mencederakan diri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


