IPOH:Tiga syarikat yang mendapat kelulusan permit penggunaan bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan dalam Hutan Simpan Piah seluas 400 hektar di Lenggong, Perak telah dicadangkan untuk menukar kawasan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kelulusan yang diberikan Pihak Berkuasa Negeri sebelum ini adalah secara dasar kerana ia tertakluk kepada laporan disediakan oleh Pejabat Hutan Daerah dan kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA).

Ujarnya, ketika ini pihak Pejabat Hutan Daerah sedang menyediakan laporan kesesuaian dan penilaian kesan sosial, manakala pihak syarikat masih belum menghantar laporan EIA.

"Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan permit penggunaan bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan dalam Hutan Simpan Piah seluas 400 hektar pada 8 Januari 2019, kedudukan kawasan ini berhampiran dengan Mukim Temelong dan Mukim Kota Tampan.

"Walau bagaimanapun, pihak jabatan sedar tentang bantahan daripada tiga kampung yang terletak berdekatan dengan kawasan kelulusan tersebut.

"Satu konsultasi bersama orang kampung telah diadakan dan dua kampung tersebut pada dasarnya telah bersetuju dengan pelaksanaan projek ini manakala satu lagi kampung masih tetap tidak bersetuju dengan projek tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepass menyempurnakan Program Inisiatif Kerajaan Negeri bersama RedOne di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, terdapat segelintir pihak mendakwa Hutan Simpan Piah yang terletak berhampiran Mukim Temelong dan Kota Tampan akan musnah apabila Projek Pembangunan Ladang Hutan dilaksanakan di kawasan tersebut.

Ia melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Luat, Kampung Beng dan Kampung Chepor.