KOTA KINABALU: Jambatan gantung yang terputus akibat banjir dan tular di media sosial di Nabawan bukan dalam kawasan sekolah, jelas Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, jambatan gantung itu adalah jambatan awam manakala alat yang dinaiki murid berkenaan sebenarnya untuk menghantar barang penduduk kampung.

"Tetapi kanak-kanak itu tertarik untuk naik alat itu, bila dirakam ia jadi isu di luar kawalan pula.

"Dimaklumkan, ada juga jalan alternatif untuk penduduk kampung dan pelajar sekolah gunakan untuk menyeberang sungai tetapi jauh," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya lagi, beliau turut difahamkan bahawa Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup sudah pun mendapat kelulusan untuk membina jambatan gantung baharu dan kini hanya menunggu pelaksanaannya.

"Sementara menunggu jambatan itu siap, pihak kerajaan akan membekalkan beberapa bot untuk penduduk kampung dan murid-murid gunakan untuk menyeberang," katanya.

Jelasnya lagi, isu itu sebenarnya tiada kaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana itu adalah infrastruktur awam dan bukan di kawasan sekolah.

"Tetapi bila ditularkan video murid sekolah seolah-olah ia isu KPM dan ia sebenarnya di bawah tanggungjawab agensi lain.

"Difahamkan pejabat daerah dan Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) sedang tangani isu ini," katanya.

Bagaimana pun, Mohamad berkata, KPM memandang berat tentang keselamatan murid di semua sekolah dan akan terus memantai serta bekerjasama dengan agensi yang bertanggungjawab.

Pada Khamis lalu media melaporkan kira-kira 50 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan dan SK Layon terpaksa bergadai nyawa menyeberang sungai dengan menggunakan rakit dan 'zip line' untuk berulang alik ke sekolah.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.