Skip to main content

Malaysia

Isu jerebu: Malaysia utamakan diplomasi, mekanisme ASEAN – Mohamad Hasan

Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Rembau di Dewan Komuniti Rantau hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Rembau di Dewan Komuniti Rantau hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

REMBAU: Malaysia akan terus menggunakan saluran diplomatik dan mekanisme ASEAN bagi menangani isu jerebu rentas sempadan dengan Indonesia secara berperingkat dengan mengutamakan kepentingan serta kesihatan rakyat tanpa menjejaskan hubungan dua hala.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perbincangan secara langsung antara pemimpin serta penggunaan saluran serantau menjadi pendekatan utama dalam menangani isu sensitif membabitkan negara jiran, berbanding tindakan penguatkuasaan undang-undang atau penghantaran nota diplomatik.

“Belum sampai ke tahap itu. Mudah untuk bercakap mengenai penguatkuasaan undang-undang, tetapi jika kita mengambil tindakan sedemikian, bermakna kita sudah bersedia untuk memutuskan hubungan.

“Kita belum sampai ke tahap itu dan penghantaran nota diplomatik juga tidak perlu. Nota diplomatik adalah langkah terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada warga emas serta bantuan pendidikan kepada penduduk Parlimen Rembau, di sini, hari ini.

Mohamad menegaskan pendirian itu tidak bermakna Malaysia berdiam diri terhadap isu jerebu yang berlarutan. Sebaliknya, kerajaan sedang memanfaatkan mekanisme yang lebih menyeluruh bagi mencari penyelesaian bersama pada peringkat serantau.

Menurut beliau, Malaysia juga bersedia membantu Indonesia menangani kebakaran yang menjadi punca jerebu, namun usaha itu berdepan pelbagai kekangan, terutama dari segi akses ke lokasi kebakaran di kawasan pedalaman Kalimantan.

“Saya sudah mengarahkan dan meminta Ketua Setiausaha Kementerian Luar supaya perkara ini diselaraskan. Semalam, saya dimaklumkan satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan bagi membincangkan cara Malaysia boleh membantu usaha kerajaan Indonesia memadamkan kebakaran yang sedang giat dilakukan, tetapi bukan mudah.

“Lokasinya jauh di pedalaman Kalimantan dan perjalanan melalui jalan darat juga amat jauh. Jadi, bagaimana bantuan boleh disalurkan? Pesawat pula tidak dapat beroperasi,” katanya.

Beliau berkata kesukaran untuk sampai ke lokasi kebakaran turut menyebabkan pasukan bantuan dari Jepun terpaksa berundur.

“Helikopter kita juga tidak dapat beroperasi kerana jerebu terlalu tebal dan keadaan itu berbahaya bagi sebarang penerbangan.

“Jarak penglihatan kurang daripada 50 meter, sekali gus menjadikan penerbangan amat berbahaya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata Malaysia akan mengemukakan dokumen tidak rasmi (non-paper) pada mesyuarat peringkat pegawai kanan dan Menteri Luar ASEAN akan datang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh mekanisme serantau bagi menangani jerebu rentas sempadan.

Langkah itu juga bertujuan membolehkan isu jerebu dibincangkan dalam kerangka bencana alam, sekali gus membuka ruang kepada ASEAN untuk memperkukuh tindak balas dan kerjasama serantau.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, bulan depan, bagi membincangkan mekanisme serantau yang lebih berkesan untuk menangani masalah berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement