KUALA LUMPUR: Dengan pertumbuhan pembandaran yang meningkat daripada 71 peratus pada 2010 kepada 76 peratus hari ini, isu seperti jurang pendapatan muncul di Malaysia dengan perbezaan antara isi rumah kaya bandar dengan isi rumah miskin bandar terus melebar.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata biarpun median pendapatan bulanan merentas kumpulan B40, M40 dan T20 telah meningkat, T20 merekodkan sekurang-kurangnya tiga kali lebih tinggi dalam median pendapatan bulanan daripada B40 sepanjang tempoh itu.

"... dan pandemik semasa hanya memburukkan lagi kesan ini tetapi yang lebih menyedihkan lagi rakyat kini berhadapan dengan kehilangan pendapatan sepenuhnya," kata beliau dalam ucaptama pada Forum Ekonomi Belia 2021 yang bertemakan "Navigating The Future : Towards Future Proofing Our Youth".

Reezal Merican berkata kerajaan telah memperkenalkan banyak inisiatif termasuk Skim Perantisan Nasional (SPN) untuk menangani isu pengangguran selain program pemahiran semula dan peningkatan kemahiran seperti pelan MyDigital untuk meningkatkan kecelikan digital dan mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi.

Beliau berkata bagi memelihara 2.7 juta pekerjaan, kerajaan melancarkan inisiatif seperti RM2 bilion di bawah Skim PENJANA PKS, RM340 juta untuk Skim Pembiayaan Mikro Kredit dan RM13.53 bilion untuk Program Subsidi Upah

Beliau juga mencadangkan supaya setiap orang membiasakan diri dengan pemikiran ke arah masa depan dengan menganalisis data yang merupakan alat penting yang boleh memudah cara mengubah cabaran kepada peluang.

"Di Kementerian Belia dan Sukan, memahami data mengenai belia penting bagi saya untuk mendapatkan gambaran jelas keadaan dihadapi belia kita dan dengan mempunyai data ini membolehkan kami membuat dasar tepat yang memberi manfaat kepada belia," kata beliau.

Reezal Merican berkata pada masa ini kementerian diterajuinya sedang bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Kewangan dan beberapa kementerian lagi untuk memperkemas segala data berkaitan belia dan ia akan membantu dan membolehkan kementerian untuk menghasilkan model baharu pembangunan belia.

Beliau berkata model baharu itu akan menangani isu kemahiran termasuk kecekapan dalam teknologi semasa, berkebolehan dalam pengurusan data dan berpemikiran analisis serta inovatif untuk melengkapkan Dasar Belia Malaysia sedia ada.

-- BERNAMA