Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) belum menerima laporan atau aduan berkaitan isu seorang lelaki berumur 41 tahun mengahwini budak perempuan berusia 11 tahun.

Pengarah JAHEAIK Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata setakat ini, maklumat yang tular di media sosial itu menyatakan lelaki berkenaan berkahwin di negara jiran.

Bagaimanapun, katanya, JAHEAIK akan menjalankan siasatan kerana perkahwinan rakyat negara ini di negara jiran perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah dan ibu bapa kerana pasangan perempuan masih di bawah umur.

"Walaupun perkahwinan itu berlangsung di negara jiran, pihak lelaki dan wanita perlu memohon kebenaran mahkamah.

"Undang-undang negara ini hanya membenarkan wanita berusia 18 tahun ke atas untuk berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah Syariah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, jika mendapat kebenaran Mahkamah Syariah, wanita yang berusia 18 tahun ke bawah boleh berkahwin kerana undang-undang Islam membenarkan mereka berkahwin.

Che Mohd Rahim berkata perkahwinan membabitkan perempuan bawah umur juga perlu berwalikan bapa dan mendapat kebenaran ibu bapa selain perkahwinan itu tidak boleh berwali hakim sebagai tanda ibu bapa bersetuju dengan perkahwinan khususnya melibatkan kanak-kanak.

"Bagi lelaki yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan perempuan bawah umur, dia dinasihatkan supaya memohon kebenaran mahkamah dan perkahwinan itu berlangsung di negara ini bagi mengelakkan mereka didenda.

"Jika mereka berkahwin di negara jiran dan mahu mendaftar perkahwinan di negara ini, Mahkamah Syariah boleh mengeluarkan denda sebanyak RM1,000," katanya.

Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki didakwa melangsungkan perkahwinan dengan seorang budak perempuan berusia 11 tahun sebagai isteri ketiganya tular di media sosial.

Lelaki itu, yang dikatakan berasal dari Gua Musang, didakwa melangsungkan perkahwinan di negara jiran dengan ditemani ibu bapa budak perempuan itu yang dikatakan warga negara jiran.

-- BERNAMA