SHAH ALAM : Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji arahan pentadbiran secara komprehensif berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dengan keputusan Kabinet yang dibuat pada tahun 1986.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, oleh kerana terdapat percanggahan maka arahan pentadbiran mengenai isu tersebut akan dikaji semula.

"Kemudian kerajaan akan mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja sepertimana diperkenan Yang di-Pertuan Agong," katanya menerusi laman Twitter pada Khamis.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ALLAH.

Dalam hal itu, katanya, Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

Tambah Saifuddin, hal berlegar melibatkan isu pentadbiran yang terkait dengan rampasan VCD milik Jill Ireland, bukanlah isu kalimah Allah. - Sinar Harian