MALAYSIA
Isu Kampung Baru: 'Banyak NGO tak faham' - Johari

Johari berkata, akan mengadakan satu sidang media khas berkaitan isu berkenaan, minggu hadapan. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak memahami isu sebenar membabitkan Kampung Sungai Baru di Kampung Baru, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Justeru, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, akan mengadakan satu sidang media khas berkaitan isu berkenaan, minggu hadapan.
Beliau berkata, sidang media tersebut bertujuan untuk menerangkan isu tersebut secara menyeluruh melibatkan penduduk dan pihak berkepentingan.
“Banyak NGO datang sini (Kampung Sungai Baru) tak faham, jadi saya akan terangkan betul-betul supaya kedua-dua pihak faham,” katanya.Beliau turut mengesahkan pernah mengingatkan penduduk Kampung Sungai Baru agar tidak menandatangani perjanjian sebelum ini.
“Dulu waktu saya jadi wakil rakyat penggal pertama sebelum 'dicutikan' saya dah pesan dengan orang Kampung Baru jangan tandatangan perjanjian itu tapi mereka lakukan juga,” katanya.
Johari ditemui media semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Parlimen Titiwangsa di tapak parkir berhampiran perkarangan pintu gerbang Kampung Baru, hari ini.
Beliau yang ditemani isterinya, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal, meluangkan masa meraikan tetamu yang mula tiba sekitar jam 10 pagi, dengan majlis itu dijangka selesai jam 3 petang.
Projek pembangunan Kampung Sungai Baru melibatkan 382 unit membabitkan 64 lot teres dan 264 unit flat.
Sebelum ini media melaporkan polemik timbul susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.
Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami