KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memperincikan keluhan Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata surat yang dihantar pada minggu lalu antaranya menggesa agar hak penduduk di kawasan tersebut dilakukan secara adil.

Tegas Mukhriz, Pejuang juga berpandangan kerajaan seharusnya mengekalkan kehadiran masyarakat Melayu di dalam kawasan bandar.

“Saya laporkan tadi bahawa setelah wakil-wakil dari kampung Sungai Baru berjumpa dengan Tun Mahathir, beliau mengutus surat kepada Perdana Menteri meminta supaya diberi perhatian kepada kes ini.

“Sebab ternampak banyak ketidakadilan yang tak sepatutnya berlaku dan kita minta supaya diperlakukan seadil yang mungkin. Pandangan kami daripada Pejuang pula ialah kawasan-kawasan bandar yang diduduki oleh orang Melayu ini sepatutnya tidak boleh disentuh.

"Jadi kita harap kerajaan akan campur tangan berkenaan hal ini dan lakukan dengan yang terbaik bagi menjaga kepentingan tersebut. Tun Mahathir juga minta kalau boleh wakil-wakil (penduduk) ini dapat bertemu dengan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Mukhriz sebelum itu melakukan perjumpaan dengan pemilik dan waris di Kampung Sungai Baru.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Jerlun itu berkata bagaimanapun setakat ini Perdana Menteri belum memberikan sebarang respons berhubung perkara tersebut.

Mukhriz menambah, Pejuang turut melantik pasukan peguam untuk memastikan rundingan antara pemaju dengan penduduk dijalankan dengan mengikut lunas undang-undang.

"Sebenarnya perjumpaan kami bukan hanya melibatkan wakil dari Kampung Sungai Baru tetapi juga Malay Agricultural Settlement (MAS), nampaknya banyak sangat isu yang berbangkit yang seolah-olah menunjukkan bahawa wakil daripada kerajaan dan pihak pemaju ingin mengambil kesempatan, mungkin kelemahan yang ada di dalam kawasan ini.

"Jadi, saya kira salah satu benda yang perlu kita perkuatkan adalah soal undang-undang itu sendiri.

"Saya sangat yakin undang-undang memihak kepada penduduk.

"Jadi, jangan ada sesiapa yang nak menidakkan hak penduduk ini untuk menuntut supaya pampasan yang setimpal yang diberikan dan kalau pun ada apa-apa tawaran itu, tawaran itu munasabah berdasarkan kepada kadar pasaran yang ada sekarang ini," ujarnya lagi.

Bagi mewujudkan situasi menang-menang, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata sebarang keputusan yang dibuat perlu melibatkan rundingan dengan penduduk Kampung Sungai Baru termasuk rancangan pembangunan.

Ujarnya lagi, kerajaan dan pemaju perlu mempertimbangkan usaha untuk mewujudkan Kampung Melayu moden di tengah-tengah ibu kota, yang diyakini bakal menjadi tarikan pelancong.

"Saya yakin nak bina hotel lagi, bina pusat beli-belah atau kondominium sudah banyak pun, dan banyak kosong.

"Apa kata kita benarkan penduduk sini duduk, maka kita kekalkan suasana masyarakat Melayu dalam bandar dan tengok macam mana ianya akan memberi satu imej yang baik kepada Kuala Lumpur," cadang Mukhriz lagi.