KUALA LUMPUR:Kerajaan memberi jaminan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) Pensijilan Halal sedia ada melibatkan daging import di negara ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri, perbincangan itu akan dijalankan dalam minggu ini melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama beberapa kementerian lain.

“Kami (Kerajaan) akan duduk semeja dengan Jakim, Bahagian Pengurusan Halal Jakim dan beberapa kementerian lagi untuk melihat mana kelemahan kita tambah baik di bawah kuasa Jakim serta kerjasama secara bersepadu.

“Selepas itu baru kita tahu apa penyakit yang perlu diubati dan dirawat khususnya dalam isu pengimportan ini mengikut SOP halal atau tidak,” katanya ketika ditemui media dalam lawatan di sebuah kilang pengimport daging di Segambut pada Isnin.

TERKINI | Lawatan Menteri Agama ke Kilang makanan sejuk beku


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengusaha daging import agar mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Jakim.

“Saya menasihatkan kepada pengusaha di sini agar patuh kepada peraturan dan SOP daripada Jakim. Selepas saya dengar taklimat dan perjalanannya (oleh pengusaha), kami amat berpuas hati dan semoga perkara sebegini akan diikuti oleh pihak lain yang menjadi pemain dari negara lain.

“Kita tidak mahu dengar wasangka-wasangka, sebagai contoh hari ini syarikat dari Alana dari India, memang ada sijil halal diiktiraf Jakim,” katanya lagi.

Sebelum ini, akhbar Sinar Harian membongkar sindiket penyeludupan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal.

Menurut laporan akhbar itu, taktik jahat kartel tersebut dibongkarkan dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.