KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dapat menahan sebak semasa berucap mengenai isu kemiskinan di Dewan Negara, hari ini.

Membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Ismail Sabri menyifatkan isu kemiskinan sangat dekat di hati beliau, sebelum dilihat menghentikan ucapannya seketika.

Ketika momen tersebut, nada Perdana Menteri kedengaran berubah, selain raut wajahnya dilihat sedikit sugul.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bera itu kemudian meneguk air, dipercayai bagi melegakan tekaknya sebelum meneruskan semula pembentangan RMK12.

"Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

"Pandemik COVID-19 yang telah melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan," katanya pada Selasa.

Berucap lanjut, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan rakyat melalui pendekatan keseluruhan.

Katanya, Unit Kemiskinan akan ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri melalui penyusunan semula fungsi dan perjawatan untuk menyelaras segala hal ehwal kemiskinan, termasuk pengurusan data yang lebih bersepadu.

"Unit yang sama dicadang ditubuhkan di setiap negeri dan pejabat daerah. Melalui usaha ini, saya yakin sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar dapat dicapai pada 2025.

Bagi menambah baik kesejahteraan keluarga B40 dan kumpulan mudah terjejas pula, Perdana Menteri berkata usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup.

Jelas beliau lagi, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak.

"Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak RM1.5 bilion akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

"Kemiskinan pada hari ini juga wujud dalam pelbagai dimensi. Dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberikan keutamaan kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa.

"Bagi kesihatan, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 akan ditangani secara komprehensif, termasuk melalui pengambilan makanan berkhasiat," tambah beliau.

Selain itu, bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan kebolehpasaran golongan M40, Perdana Menteri berkata program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan dipertingkat tanpa mengira kaum.