Julapun Amornvivat dilantik ketua baharu Parti Pheu Thai

Julapun Amornvivat memperoleh 354 undi daripada 369 perwakilan yang layak mengundi pada perhimpunan agung parti pada Khamis. - Facebook Pheu Thai Party
BANGKOK: Bekas Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Julapun Amornvivat, telah dipilih sebagai ketua baharu Parti Pheu Thai susulan peletakan jawatan Paetongtarn Shinawatra pada 22 Okt lepas.
Beliau memperoleh 354 undi daripada 369 perwakilan yang layak mengundi pada perhimpunan agung parti pada Khamis, sekali gus mengukuhkan kedudukannya untuk memimpin parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan tahun depan.
Julapun berkata, pemilihannya menandakan bab baharu bagi parti itu untuk meneruskan misinya memperjuangkan kepentingan rakyat, dengan keutamaan pertama ialah memperkukuh komunikasi dengan orang ramai supaya lebih pantas, jelas dan langsung.
"Misi ini bukan mudah, namun saya tidak bersendirian. Semua yang berada di sini adalah kekuatan saya. Saya juga percaya masih ada lebih 10 juta rakyat yang akan terus menyokong Pheu Thai serta membantu kami mara ke arah kemenangan dan membentuk kerajaan seterusnya.
"Saya menyeru semua agar terus bersatu dan mengekalkan keyakinan terhadap Parti Pheu Thai. Dengan perpaduan dan kepercayaan terhadap prinsip kami, kita akan memimpin parti dan negara menuju kejayaan serta masa depan yang cerah," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis.
Perhimpunan Agung itu turut memilih barisan kepimpinan baharu parti, termasuk Prasert Chanruangthong sebagai Setiausaha Agung dan Sukit Srichomkwan, bekas Timbalan Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Politik, sebagai jurucakap parti.
Julapun menegaskan komitmennya untuk melaksanakan pembaharuan dalam parti serta memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Dunia berubah setiap hari, begitu juga dengan politik Thailand. Keperluan rakyat turut berubah. Pembaharuan dalam Pheu Thai bukan lagi satu pilihan - ia satu keperluan.
"Kami akan kekal teguh terhadap komitmen kepada rakyat dengan melaksanakan dasar yang benar-benar membawa manfaat kepada mereka," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


