KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa kerajaan supaya bersikap adil terhadap isu kewarganegaraan kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara termasuk oleh ibu warga Malaysia.

Tegas beliau, hak asasi manusia perlu menjadi tunjang kepada negara dan ia tidak boleh berat sebelah dengan hanya memberi kelebihan kepada lelaki sahaja.

Dalam masa yang sama, Azalina turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang mahu meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

"Baru-baru ini Sultan Johor sendiri menyokong hak kewarganegaraan diberikan kepada ibu-ibu (warganegara) dan anak (yang dilahirkan di luar negara).

"Pun begitu, kerajaan masih nak buat rayuan (keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur). Saya sampai hari ini tak faham, Yang Dipertua pun peguam, saya juga peguam... kita pun agaknya tak faham, apa ruginya?

"Kedua kalau kita nak berlaku adil, saya nak cakap kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), dan sahabat-sahabat dalam Kabinet, berlaku lah adil kepada semua... kalau ibu tak dapat, bapa pun jangan bagi. Kenapa ibu tak boleh, bapa boleh?" soal Azalina ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Rabu.

BACA: Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia berbeza? - Sultan Johor

Jelas Azalina lagi, tindakan membezakan hak kerakyatan menggambarkan seolah-olah golongan wanita di negara ini lebih banyak kekurangan berbanding lelaki.

Desakan Azalina itu turut mendapat sokongan Nga Kor Min (PH-Teluk Intan) yang bangkit menggesa agar kerajaan menarik keputusan untuk membuat rayuan terhadap isu kerakyataan.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Datuk Akhtar Tahir, yang membuat keputusan itu dalam penghakimannya berkata, perkataan 'bapa' dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.