PETALING JAYA: Semua pihak, baik kerajaan mahu pun pembangkang, dijangka tidak mempunyai masalah untuk meminda perlembagaan berhubung isu kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara.

Namun Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berpendapat, masyarakat perlu dididik dan salah faham berkaitan wanita juga harus diperbetulkan.

"Dari hari pertama, saya tidak fikir akan ada tentangan atau masalah untuk mendapatkan dua pertiga majoriti.

"Saya fikir dalam kes ini tiada justifikasi akan berlaku, tiada diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak.

"Tetapi salah tanggapan tertentu berkaitan isu ini perlu diberi perhatian, seperti perempuan 'gatal' kerana mengahwini lelaki asing, tetapi lelaki kahwini perempuan asing tidak dianggap gatal pula.

"Begitu dangkalnya pemikiran sebilangan daripada kita, dan malangnya itulah realitinya yang hanya boleh diubah dengan pendidikan," katanya dalam sesi diskusi Let’s Talk Citizenship: Born to a Malaysian Mother but not Malaysian? anjuran Persatuan Sokongan Kebajikan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers), pada Ahad.

Jelasnya, isu berkaitan pemberian kewarganegaraan ini harus diselesaikan segera dan orang ramai boleh memainkan peranan mereka dalam mendesak pindaan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan dipercepatkan.

"Tanpa desakan, sukar kita mahu laksanakan perubahan, jadi apa sahaja usaha termasuk seperti yang dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) hari ini, sangat dialu-alukan," katanya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Farah Nini Dusuki berkata, penghakiman berkenaan isu tersebut tidak merangkumi semua isu berkaitan wanita, namun tanpa pindaan segera, ia akan membuka masalah kepada isu lain pula.

"Pertimbangan segera perlu dilakukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan, sehingga atau melainkan kita melakukannya, kita akan membuka pintu kepada permasalahan lain.

"Antaranya, kemungkinan hakim yang berbeza mempunyai tafsiran yang berbeza, ada yang liberal, ada yang lebih terhad dalam tafsiran mereka.

"Itulah sebabnya yang paling penting adalah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan segera supaya tidak ada lagi kesamaran," jelasnya.

Di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, setiap orang yang lahir pada atau selepas Malaysia ditubuhkan pada 1963 dan memenuhi mana-mana syarat dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan adalah “warganegara melalui kuat kuasa undang-undang”.

Ini bermakna mereka secara automatik berhak menjadi warganegara Malaysia atau warganegara melalui undang-undang jika mereka memenuhi syarat.

Di bawah syarat Bahagian II untuk seseorang yang dilahirkan di luar Malaysia mendapat kewarganegaraan Malaysia, Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) secara khusus meletakkan syarat bapa kepada kanak-kanak berkenaan warganegara Malaysia pada masa kelahiran.