Isu kompaun: Perlu ada budi bicara, perikemanusiaan dalam mengambil tindakan - PM

Madiha Abdullah
April 28, 2021 07:44 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada majlis pelancaran Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Ketegasan dalam pelaksanaan hukuman berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) adalah perlu atas tujuan mendidik dan memberi kesedaran.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar pihak berkuasa mengamalkan budi bicara dan perikemanusiaan dalam mengambil sebarang tindakan.
"Ketegasan itu penting untuk pastikan peraturan dipatuhi tetapi dalam masa yang sama, perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil menurut ruang lingkup undang-undang supaya usaha kita untuk mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima.
"Hal ini sangat penting, terutamanya dalam situasi pandemik yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat," katanya dalam ucapan perasmian Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 di sini, pada Rabu.
Tambah Muhyiddin, kerjasama yang baik antara masyarakat dan pihak penguatkuasa akan mewujudkan komuniti yang lebih kuat komuniti untuk bersama-sama memastikan kejayaan membendung penularan jangkitan virus COVID-19 dapat dicapai.
BACA: Jual burger depan tangga rumah, peniaga kecewa dikompaun RM50,000
BACA: Dikompaun RM50,000, peniaga colek akui tidak mungkin mampu bayar walau diberi pengurangan
BACA: Ingkar SOP: Kronologi kes Neelofa dari hari nikah hingga dikompaun RM60,000
Media sebelum ini melaporkan, seorang peniaga burger dan colek di dua kampung berasingan di Kota Bharu, dikenakan kompaun RM50,000 kerana didakwa beroperasi melebihi masa ditetapkan pada Ahad malam lalu.
Tindakan yang dikenakan terhadap mereka yang masing-masing berniaga kecil-kecilan di depan rumah menimbulkan ketidakpuasan hati banyak pihak yang menganggap ia keterlaluan.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #COVID-19 #undang-undang #operasi #SOP #kompaun #Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 #prosedur operasi standard #burger #colek #Neelofa