Skip to main content

Malaysia

Isu kronisme perlu difahami generasi muda untuk elak penyalahgunaan – Pushpan Murugiah

IDEAS, Pushpan Murugiah, isu kronism
Majlis pelancaran laporan dasar terbaharu oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), bertajuk Who Sits at the Table? From Political to Public Appointees in Malaysia’s Federal Statutory Bodies (FSBs) di Muzium Telekom pada Khamis. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Generasi muda digesa memahami isu kronisme dan implikasinya bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran awam.

kata Ketua Pegawai Eksekutif Center to Combat Corruption & Cronyism, Pushpan Murugiah menegaskan, sejarah perkembangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menunjukkan bagaimana kapitalisme birokratik di era awal kemerdekaan berubah menjadi kronisme kapitalis.

Advertisement

“Kapitalisme kroni mungkin membantu pembangunan pada satu era, tetapi persoalannya sekarang ialah sama ada kita mahu mengekalkan sistem yang boleh disalahgunakan untuk mengambil untung daripada mereka yang kurang kepakaran.

"Generasi muda perlu dilengkapi pemahaman tentang kronisme, metodologi dan implikasinya dalam kehidupan seharian, termasuk aktiviti yang mungkin bersifat kroni, bagi memastikan prinsip integriti dan tadbir urus baik dipertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi panel forum pelancaran laporan dasar terbaharu oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), bertajuk Who Sits at the Table? From Political to Public Appointees in Malaysia’s Federal Statutory Bodies (FSBs)  di sini pada Khamis.

Beliau menambah, walaupun kronisme tidak menyalahi undang-undang secara langsung, pendidikan dan advokasi terhadap rangka kerja pentadbiran yang bersih amat penting untuk mengelakkan ia meresap ke dalam sektor awam.

“Jika generasi muda dapat membezakan antara kronisme yang berisiko dan pentadbiran yang telus, mereka mampu menjadi benteng kepada sistem yang adil dan berintegriti,” katanya.

Dalam pada itu IDEAS turut menerbitkan satu laporan menggariskan kelemahan struktur berterusan dalam kerangka pelantikan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) Malaysia.

Laporan itu menekankan bahawa sistem pelantikan sedia ada masih memberikan kuasa budi bicara yang luas kepada ahli politik kanan serta mengutamakan hubungan berbanding kebolehcekapan, sekaligus melemahkan prestasi dan kebertanggungjawaban BBP serta menghakis kepercayaan awam.

Majlis itu turut menyaksikan penerbitan tayangan dokumentari pendek ‘Who’s Who & So and So’ yang meneroka hubungan antara kuasa dan pelantikan politik dalam institusi awam Malaysia.

Dokumentari tersebut menampilkan wawancara bersama pakar tadbir urus dan wakil masyarakat sivil yang berkongsi pandangan tentang bagaimana amalan pelantikan mempengaruhi kebebasan institusi, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam.

Must Watch Video