Kerajaan mengambil kira pandangan pihak berkaitan dalam melaksanakan peluasan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan mulai 1 Jan 2019.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara bersama.

"Mungkin kita sebagai pengamal perubatan, kita merasakan ini perlu (larangan merokok). Namun, di luar sana ada kekangannya apabila persatuan restoran seperti kedai mamak kebanyakannya telah membantah kerana ini akan mengekang dan mengurangkan pelanggan mereka yang kebanyakannya merokok. Ini yang kita mesti tangani bersama," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tiga polisi utama yang diperluaskan semasa pembentangan Belanjawan 2019, termasuk peluasan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan mulai 1 Jan 2019, adalah bukti kerajaan serius memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Selain itu, kerajaan juga ada menerima cadangan lain termasuk saranan sesetengah pihak yang mahu tempoh operasi restoran dan kedai makan dihadkan sehingga jam 12 malam sahaja.

"Ada juga cadangan mengehadkan masa bagi restoran 24 jam supaya dikendalikan sampai 12 malam. Itu juga ditentang hebat kerana itu dikatakan 'Malaysian lifestyle'. Ada juga mengatakan kadangkala orang yang kerja shift memerlukan restoran 24 jam untuk menjadi lokasi makan mereka. Semua inilah yang akan kita lihat dan akan lalui bersama," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan bertegas untuk menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan di negara ini demi kepentingan awam.

Ketetapan itu dibuat susulan bantahan pengusaha restoran dan kedai makan di seluruh negara yang tidak berpuas hati dengan peraturan larangan merokok sepenuhnya.