SHAH ALAM : Kerajaan sekali lagi menegaskan tidak akan bertolak ansur berhubung isu perairan Laut China Selatan yang kini menjadi pertikaian dengan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan Tan Sri Muhyiddin sebagai individu yang bermasalah dan tidak meneliti kenyataan yang dikeluarkan beliau.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional itu yang mendakwa Anwar mengeluarkan kenyataan yang cuai berhubung kedudukan negara di Laut China Selatan.

"Muhyiddin ini dia banyak masalah sekarang, dia tak baca apa kenyataan saya... tiada langsung saya sebut saya nak tolak ansur dan ini yang saya sampaikan kepada pemimpin-pemimpin China yang tidak dilakukan beliau (Muhyiddin).

"China menyatakan ada bertindih (tuntutan) jadi kalau begitu kita berbincang tetapi tidak menghalang untuk kita teruskan projek.

"Projek tetap berjalan jadi apa yang tidak kita kompromi kerana projek cari gali Petronas akan tetap berjalan di kawasan yang kita percaya milik negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Kita Untuk Kita di PPR Kampung Baru Hicom di sini pada Sabtu.

Anwar dalam masa sama berkata, isu seumpama itu tidak akan berbangkit sekiranya pihak pembangkang menunjukkan kehadiran yang positif di Parlimen.

"Ini adalah masalah pembangkang yang dia tidak dapat nak tumpukan, tak hadir Parlimen, tak dengar pandangan dan tak baca ulasan kerana kita konsisten sebut projek cari gali ini diteruskan.

"Memang China kata ada bertindih, jadi saya kata bincang, takkan nak perang?," ujarnya lagi.

Baru-baru ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu berkata, kenyataan Anwar berhubung isu berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab selain menggadai maruah serta kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kenyataan tersebut juga cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.

Malah Muhyiddin mendakwa, implikasi daripada tindakan tersebut secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah menjadi wilayah Malaysia.