MALAYSIA
Isu menangani buli antara fokus perbincangan TaLIS 2025

Johan dan Shireena bercakap mengenai Simposium Pengajaran & Pembelajaran Antarabangsa (TaLIS) 2025 pada program Astro AWANI Pagi hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Isu menangani buli dalam institusi pendidikan merupakan antara topik perbincangan utama pada Simposium Pengajaran dan Pembelajaran Antarabangsa (TaLIS) 2025 yang akan berlangsung Oktober ini.
Prof Dr Johan @ Eddy Luaran berkata, simposium kali ini membuka ruang kepada penyelidik yang pernah menjalankan kajian berkaitan masalah pendidikan di Malaysia, khususnya isu buli, untuk membentangkan kertas kerja mereka.
"Simposium ini kami harap dapat menjadi platform, di mana hasil kajian tentang buli dan isu dalam dunia pendidikan boleh disebarluaskan sebagai wadah untuk perkongsian amalan terbaik,” kata Timbalan Dekan (Penyelidikan & Jaringan Industri) Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan AWANI Pagi hari ini, bercakap mengenai TaLIS 2025 yang akan diadakan pada 22 dan 23 Oktober ini di Fakulti Pendidikan UiTM Puncak Alam.
Sementara itu, seorang lagi tetamu jemputan, Dekan Fakulti Pendidikan UiTM Prof Madya Dr Shireena Basree Abdul Rahman berkata, TaLIS 2025 bukan sahaja membincangkan teori akademik tetapi merangkumi semua aspek pendidikan negara.
“Tema tahun ini memberi fokus kepada teknologi serta aspek asas pendidikan seperti pembangunan tenaga pengajar, penilaian, evaluasi dan juga inklusiviti.
"Kami membuka ruang untuk perkongsian bukan hanya dalam bidang teknologi, malah juga untuk mereka yang berkecimpung dalam asas pendidikan,” katanya.
TaLIS 2025 akan dianjurkan secara fizikal dan dalam talian bagi memberi kelapangan kepada peserta dari pelbagai lokasi untuk turut serta.
Simposium ini diharap menjadi platform antarabangsa utama untuk berkongsi idea, memacu inovasi dan membina masa depan pendidikan yang lebih inklusif serta mampan di peringkat global.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami