Kerajaan perlu segera mengeluarkan kenyataan untuk menjernihkan ketegangan antara India bagi memastikan negara itu akan kekal membeli minyak sawit dari Malaysia.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan, ia perlu sebagai usaha agar India tidak beralih membeli bahan mentah itu daripada Indonesia.

Jelas Pengerusi UMNO Kelantan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu dengan segera berhubung dengan Perdana Menteri India agar satu kenyataan bersama dibuat bagi meredakan spekulasi yang sedang berlaku di dalam media dan rakyat negara itu sendiri.

"Cuba bayangkan jika India menghentikan pembelian minyak sawit kita pada bulan November dan Disember akan datang ini. Terdapat lebihan sebanyak 866,000 tan minyak sawit yang bakal tidak terjual. Ke mana minyak sawit ini akan dijual?

"Maka dengan sendirinya penawaran melebihi permintaan akan menyebabkan harga sawit kita akan terus menurun, dan yang terkesan adalah pekebun kecil dan juga syarikat yang mengusahakan ladang sawit.

"Dengan sendirinya ia akan merencatkan pertumbuhan KDNK kita pada suku keempat tahun ini dan kesan ini akan berlarutan sehingga tahun depan," katanya semasa ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, peningkatan import minyak olein sawit yang begitu tinggi menimbulkan kebimbangan kepada pihak industri penapisan minyak sayuran India.

Tambahnya, pihak berkenaan secara berterusan juga telah menggesa agar kerajaan negara itu meningkatkan duti import ke atas minyak olein sawit bertapis dari Malaysia untuk melindungi kepentingan industri penapisan minyak sayuran India.

Dalam pada itu, tegas Ahmad Jazlan, kerajaan perlu menyenaraikan langkah persediaan jika perkara itu benar-benar berlaku selain tidak hanya senyap berkenaan isu berkenaan.

"Malaysia adalah rakan dagang ke-10 terbesar India. Malaysia mendapat hasil sebanyak AS$1.8 bilion dari jualan minyak sawit ke India.

"Hasil dagangan dengan India, trade surplus Malaysia adalah sebanyak AS$5 bilion. Jika Dr Mahathir berterusan memihak kepada Pakistan dan campur tangan di dalam konflik India-Pakistan, mereka tidak teragak-agak untuk buat tindakan drastik termasuk menghentikan sepenuhnya import sawit," jelasnya.

Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia, dalam sembilan bulan pertama 2019, India membeli 3.9 juta tan minyak sawit Malaysia, dengan import bulanan sebanyak 433,000 tan.