KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan undi belah bahagian terhadap Jabatan Perdana Menteri (JPM) semasa penggulungan di peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 kelak.

Ia berkait isu pemberian hartanah bernilai RM100 juta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Najib Razak, keputusan JPM untuk tidak meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Laju (HSR) Kuala Lumpur - Singapura serta peruntukan Belanjawan 2022 yang menurutnya tidak adil dan tidak mencukupi.

Ahli Parlimen Bagan itu menegaskan, keputusan tersebut sebagai 'jelas salah' dan menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia, kata  beliau, disebabkan persetujuan itu dibuat Kabinet meskipun Najib telah disabitkan kesalahan atas salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

"Walaupun Najib telah menarik balik permohonannya atas tujuan politik agar tidak menjejaskan sentimen pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak ada jaminan dia tidak akan memohon semula nanti.

"Sama ada Najib membuat keputusan untuk memohon semula selepas ini untuk hartanah RM100 juta itu, keputusan asal Kabinet untuk memberikan kelulusan adalah salah dan mesti ditukar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib yang ketika ini menunggu untuk 'dimuktamadkan', sekali gus menyebabkan kenyataan beliau itu dipersoal segelintir Ahli Parlimen.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Jumaat pula mengesahkan kerajaan pada dasarnya telah bersetuju untuk menganugerahkan Najib sebidang tanah dan rumah yang dilaporkan bernilai RM100 juta.