PUTRAJAYA: Pertikaian isu tanah yang berlarutan selama satu dekad diselesaikan hari ini apabila 85 keluarga Orang Asli suku kaum Seletar akan dipindahkan ke penempatan baharu yang akan diwartakan sebagai rizab Orang Asli.

Ia berikutan perintah persetujuan hari ini oleh pihak-pihak dalam kes saman yang direkodkan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam Khoo Guan Huat yang mewakili kerajaan negeri Johor dan pengarah Tanah dan Galian negeri Johor, memaklumkan kepada mahkamah hari ini bahawa pihak-pihak dalam saman itu bersetuju dengan perintah persetujuan tersebut.

Berikutan perintah persetujuan itu, Hakim Yaacob yang mengetuai panel tersebut, membatalkan rayuan kerajaan negeri Johor, pengarah Tanah dan Galian negeri Johor, pemaju serta rayuan balas oleh Orang Asli berkenaan.

Berdasarkan perintah persetujuan itu, keluarga Orang Asli dari Kampung (Kg) Sungai Temon, atau lebih dikenali sebagai Orang Laut akan ditempatkan di kawasan penempatan baharu seluas 18.21 hektar di Mukim Sungai Tiram, Johor Bahru, Johor.

Ini termasuk pembinaan sebuah penempatan yang dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan lampu jalan yang akan dilaksanakan oleh syarikat Node Dua Sdn Bhd dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Keluarga itu akan dibenarkan tinggal di Kg Sungai Temon sehingga pembinaan penempatan baharu itu selesai.

Perintah persetujuan itu juga turut menyatakan setiap isi rumah akan menerima pampasan RM5,000 dan RM1,500 untuk pembelian perabot serta 50 keluarga dari Kg Bakar Batu akan menerima pampasan RM6,500 bagi setiap isi rumah.

Pada 2012, Orang Asli Seletar dari kedua-dua kampung diketuai Eddy Salim memfailkan saman terhadap 11 defendan termasuk pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, kerajaan negeri Johor, ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), kerajaan Persekutuan, pemaju dan pemilik persendirian kerana menceroboh tanah mereka.

Tanah yang dipertikaikan itu terletak di kawasan Teluk Danga di kawasan Iskandar Malaysia, Johor.

Pada 28 Feb 2017, Mahkamah Tinggi di Johor Bahru memutuskan Orang Asli mempunyai hak adat ke atas wilayah tersebut dan berhak mendapat pampasan bagi pelucutan wilayah adat mereka dan bagi pelanggaran kewajipan fidusiari kerajaan Persekutuan dan negeri kerana kegagalan mewartakan dan melindungi wilayah adat itu daripada diasingkan kepada pihak ketiga.

Walaupun Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang menyebelahi Orang Asli, mereka bagaimanapun memutuskan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan untuk mendapatkan semula hak pemilikan tanah mereka dan bukannya menerima pampasan.

Orang Asli itu diwakili barisan peguam diketuai Steven Thiru manakala Peguam Persekutuan Safiyyah Omar mewakili JAKOA dan kerajaan Persekutuan.

-- BERNAMA