KUALA LUMPUR : Keluhan masalah dihadapi penduduk di Pangsapuri Harmoni 1, Putra Height yang dimajukan sebuah syarikat ternama masih menjadi 'tanda tanya' meskipun pihak terbabit telah 'berjanji' untuk menyelesaikannya.

Ini kerana, segala komitmen dan maklum balas berkaitan aduan penduduk itu, dinyatakan dalam satu kenyataan dikeluarkan sebuah syarikat perhubungan awam, dengan memetik 'jurucakap pemaju hartanah' tanpa sebarang kepala surat rasmi syarikat.

Memetik kenyataan tersebut, antara perkara yang dijanjikan termasuk penyelesaian terhadap isu takungan air di bangunan perumahan tersebut seperti yang dinyatakan menerusi laporan sebelum ini.

“Perangkap lantai tambahan akan dipasang bermula April untuk memastikan aliran air yang lebih baik ketika hujan lebat.

“Tindakan segera sedang diambil untuk menangani masalah saluran air tersumbat dan ini dijangka akan selesai sebelum akhir bulan ini.

“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang, Pemaju akan melaksanakan kerja-kerja untuk menyelesaikan isu air bertakung yang dijangka akan siap secara berperingkat menjelang Jun.

“Untuk menyelesaikan isu ini, kerja pembaikan akan bermula serta-merta dan dijangka akan siap sebelum hujung bulan ini,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan media dikongsikan syarikat perhubungan awam yang dilantik.

Selain itu, kenyataan itu juga menyebut, isu siling yang berlubang adalah disebabkan pemantauan yang sedang dilaksanakan pihak pemaju sebelum ia kembali ditutup, serta ia dibuat bagi memastikan tiada sebarang kebocoran lagi berlaku.

Menyentuh isu yuran penyelenggaraan, kenyataan itu menyatakan, ia adalah bertujuan bagi menampung kos penyelenggaraan umum bagi pangsapuri tersebut.

BACA: [LAPORAN KHAS] Pemaju kayangan, rumah 'cap ayam?'

BACA: Isu Pangsapuri Harmoni 1: Kerajaan Selangor mahu pemaju bertanggungjawab

Janji yang dikemukan syarikat pemaju yang tidak mendedahkan identiti syarikat.

“Ini termasuk tiga perbelanjaan utama iaitu kos elektrik untuk semua kawasan umum, lantikan 12 pengawai keselamatan bertugas setiap hari serta 18 tukang cuci untuk perkhidmatan seharian.

“Yuran disimpan dalam akaun berasingan untuk kegunaan penyelenggaraan kawasan umum hartanah,” menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, kenyataan itu juga menjelaskan berhubung isu fasiliti yang dikatakan telah dibina bersebelahan bangunan pangsapuri untuk kegunaan bersama.

“Terdapat kemudahan disediakan yang terletak di Harmoni 1 untuk kegunaan bersama. Ini termasuk surau berkapasiti 150 orang jemaah, gerai makan serta dewan serbaguna yang dibina bersebelahan Harmoni 1 untuk penduduk dan komuniti yang boleh memuatkan sehingga 350 orang,” katanya.

Pemaju beri jaminan untuk atasi masalah yang berbangkit.

Sebelum ini, Astro AWANI cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat pemaju ternama itu serta menyatakan hasrat untuk bersemuka, bagaimanapun usaha itu masih gagal sehingga kini.

Malah permintaan tersebut juga telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan tertinggi syarikat pemaju tersebut namun sehingga kini masih belum mendapatkan sebarang maklum balas yang positif.

Sebaliknya, kenyataan yang diberikan juga dilihat tidak merujuk kepada syarikat pemaju secara jelas yang sekali lagi menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.

Baru-baru ini, Astro AWANI telah membawakan siri Laporan Khas bertajuk ‘Pemaju Kayangan Rumah Cap Ayam’ yang merungkai segala permasalahan yang didedahkan penduduk.

Laporan itu juga antara lain menyentuh mengenai kerosakan struktur bangunan rumah, isu takungan air di ruangan parkir, serta kos penyelenggaraan bulanan yang didakwa tidak setimpal dengan fasiliti yang sepatutnya mereka peroleh.

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor juga katanya akan memanggil pemaju ‘kayangan’ tersebut untuk meneliti segala isu yang berbangkit.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, pembeli mempunyai hak untuk membuat tuntutan sekiranya berlaku kecacatan terhadap kediaman mereka dalam tempoh dua tahun.