[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
NATIONAL

Isu Peguam Negara: Raja-Raja Melayu dijangka bersidang pada Selasa

Bernama 03/06/2018 | 11:02 MYT
Syed Danial berkata ketika ini kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang serta calon penggantinya.
Raja-Raja Melayu dijangka mengadakan perbincangan khas berkenaan jawatan Peguam Negara pada Selasa ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata warkah persilaan untuk perbincangan khas di Istana Negara itu telah dikeluarkan pada 1 Jun kepada Raja-Raja Melayu.
Syed Danial berkata ketika ini kerajaan dan Istana Negara belum ada persetujuan mengenai pemberhentian perkhidmatan Peguam Negara yang ada sekarang serta calon penggantinya.
BACA: Isu lantikan Peguam Negara akan diselesai ikut Perlembagaan - Dr Mahathir
BACA: Tiada peruntukan Peguam Negara perlu Melayu - Hanipa
BACA: Lantikan Peguam Negara, apa kata istana?
"Raja-Raja Melayu mengikuti perkembangan ini (jawatan Peguam Negara) dan merasakan ada tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan kekusutan ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, di bawah Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri melantik seorang yang layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan.
Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan : "...Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika dia ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong".
Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali akan bercuti dan tempatnya digantikan oleh Peguam Cara Negara, berkuat kuasa serta-merta.
Dr Mahathir berkata Mohamed Apandi diberikan cuti berikutan terdapat beberapa aduan tentangnya walaupun belum ada sebarang laporan rasmi dibuat berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
#Istana Negara #Majlis Raja-Raja #Peguam Negara #Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja #Perdana Menteri #Perlembagaan #Syed Danial Syed Ahmad