KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia akan mengadakan perbincangan secepat mungkin dengan kerajaan Indonesia bagi menyelesaikan isu membabitkan pengambilan pekerja asing dari negara itu dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, tumpuan perbincangan termasuk masalah membabitkan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) dan One Channel System (OCS) menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai sebelum ini yang menjadi pertikaian.

“Betullah One Channel System (OCS)... tapi apa yang kita juga ada dalam perjanjian tersebut segala perkara yang timbul kekhilafan tidak patut dibawa kepada pihak media, itu juga ada.

"Jadi saya tak payahlah sebut benda itu, biar kita bincang,” kata Hamzah dalam sidang media yang diadakan bersama dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, di sini, hari ini,

BACA: Pembekuan sementara pekerja Indonesia: 'Kita masih ada 15 negara sumber pekerja asing' - Hamzah

BACA: Indonesia beku penghantaran pekerja ke Malaysia serta-merta - Laporan


Dalam masa sama, jelas beliau, cadangan yang ditimbulkan oleh agensi-agensi yang terlibat dalam pengambilan pekerja asing agar tidak lagi menggunakan sistem MOS merupakan cadangan satu pihak sahaja yang memerlukan padangan semua pihak.

Malah, kerajaan Malaysia, kata Hamzah, akan memastikan segala pengurusan pekerja asing di Malaysia berada di landasan yang betul dan terbaik mengikut lunas undang-undang.

“Suka untuk saya ingatkan bahawa kita mewakili kerajaan akan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang negara.

“Pada masa sama menjamin bahawa semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi secara saksama mengikuti undang-undang yang ada dalam negara kita,” jelas beliau lagi.

[TERKINI] Sidang media mesyuarat jawatan kuasa mengenai pengurusan pekerja asing


Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, bahawa negara itu tidak kisah sekiranya Malaysia membuat keputu­san membatalkan MoU pengambilan pekerja dari negara itu yang dimeterai 1 Ap­ril lalu.

Dalam mesyuarat yang diadakan hari ini juga, Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia telah bersetuju untuk meluluskan penggunaan pekerja asing dalam beberapa sektor pekerjaan di negara ini menerusi empat kertas pembentangan.

Ia termasuklah penggajian pekerja asing dan penentuan agensi kawal selia bagi subsektor gudang darat oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Selain itu, katanya, kelulusan juga diberikan terhadap permohonan bagi penggajian pekerja asing untuk industri sarang burung walet oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Kerajaan juga, ujar Hamzah, meluluskan kertas cadangan dari Construction Labour Exchange Berhad (CLAB) bagi membolehkan agensi berkenaan menguruskan sepenuhnya kemasukan pekerja asing binaan melebihi 100 orang.

Beliau berkata, kelulusan itu, selaras dengan pematuhan kepada Akta 520 seperti memastikan pekerja mempunyai Kad Personel Binaan CIDB dan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP).

Persetujuan juga dicapai bagi mempertimbangkan permohonan kebenaran pekerja asing berpermit secara jangka pendek bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan kerja-kerja di Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL).