KUALA LUMPUR: Isu pelarian Rohingya di Malaysia perlu ditangani secara kolektif oleh semua kementerian dan agensi terlibat.

Sehubungan itu, kerajaan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, sentiasa memberi perhatian ke atas golongan itu terutamanya membabitkan isu pendidikan.

Kementerian Luar juga, jelas Saifuddin, sentiasa mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pendidikan serta agensi berkaitan dalam menguruskan isu golongan berkenaan.

"Ini bukan soal Wisma Putra atau mana-mana kementerian tertentu sebaliknya tanggungjawab bersama dan saling hubung menghubung.

“Ingin saya ingatkan bahawa Malaysia bukan signatory (penandatangan) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tetapi kita mainkan peranan seolah-olah kita signatory," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 di kementeriannya di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Saifuddin memberitahu, kerajaan juga sedang meneliti untuk memperkasakan dan menambah dana supaya memastikan anak-anak pelarian Rohingnya itu tidak tercicir dalam pendidikan.

Beliau menjelaskan, dana itu bagaimana tidak membabitkan wang rakyat atau peruntukan kerajaan, sebaliknya, menerusi dana yang diperoleh dari sumbangan luar seperti Yayasan Qatar.

"Akses kepada pendidikan adalah penting bagi mengelakkan berlaku masalah lain di masa depan. Jika mereka tidak dibantu dari segi pendidikan, sukar untuk negara ketiga menerima mereka.

“Mereka jadikan Malaysia sebagai tempat persinggahan tetapi negara ketiga ini juga mereka pilih," kata beliau lagi.

Sementara itu, Saifuddin turut memaklumkan, sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan pada 18 dan 19 Januari ini di Kemboja telah ditangguhkan ke satu tarikh lain yang belum ditentukan lagi.

Penangguhan itu, jelas beliau, dibuat berikutan beberapa menteri luar ASEAN tidak dapat menghadiri mesyuarat berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Saifuddin memberitahu, beliau sendiri tidak dapat menghadiri pemukiman berkenaan kerana perlu menghadiri sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Januari ini.

"Dengan varian baharu Omicron, kita tiada lagi program test and release, menteri pun kena kuarantin macam orang lain. Kalau saya pergi juga, saya tak sempat hadir sidang khas Dewan Rakyat," katanya lagi.

Ditanya mengenai keputusan Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin yang dilaporkan akan menghadiri sesi pemukiman berkenaan, Saifuddin berkata perkara itu ada dibincangkan dalam kalangan beberapa orang menteri luar ASEAN.

"Di kalangan menteri-menteri luar ASEAN ini ada pelbagai pandangan," katanya tanpa berkongsi pandangan berkenaan.

Saifuddin berkata keputusan Malaysia tahun lepas bahawa tiada wakil politik dari Myanmar dijemput ke Sidang Kemuncak ASEAN masih kekal, kecuali jika terdapat perkembangan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang diterima pakai oleh ASEAN untuk menangani keadaan sosio-politik di Myanmar.

Mengulas mengenai Menteri Luar Myanmar Wunna Maung Lwin yang sebelum ini dilaporkan akan menghadiri sesi pemukiman sama, Saifuddin berkata, ia ada dibincangkan dalam kalangan beberapa menteri luar ASEAN.

"Dalam kalangan menteri-menteri luar ASEAN ini ada pelbagai pandangan," katanya.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, Malaysia tetap dengan pendirian yang sama seperti tahun lalu bahawa tiada wakil politik dari Myanmar dijemput ke Sidang Kemuncak ASEAN, kecuali, jika terdapat perkembangan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang diterima pakai oleh ASEAN untuk menangani keadaan sosiopolitik di Myanmar.