Skip to main content

Malaysia

Isu penternakan babi: Izham teliti kenyataan Ronnie Liu jika wujud unsur fitnah melampau

SHAH ALAM, 29 April -- Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Datuk Izham Hashim ketika bertemu pengamal media mengenai Pelancaran Platform Agenda Bumi Hijau di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Izham menegaskan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya berunsur fitnah dan hasutan, selain tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ronnie. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim membidas kenyataan yang dikeluarkan bekas Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Izham menegaskan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya berunsur fitnah dan hasutan, selain tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu.

“Saya sedang meneliti dengan peguam saya untuk melihat unsur-unsur fitnah yang melampau yang perlu diambil tindakan undang-undang,” katanya menerusi hantaran video yang disiarkan hari ini.

Izham yang juga ADUN Pandan Indah berkata setiap keputusan dibuat secara kolektif berdasarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana isu tersebut telah berlarutan puluhan tahun dan perlu diselesaikan dengan segera.

“Saya tidak boleh memilih isu ketika berkhidmat sebagai Exco…isu ini lebih 30 tahun dan tidak pernah diselesaikan secara tuntas,” katanya.

Izham turut menafikan dakwaan bahawa cadangan memindahkan ladang babi ke Bukit Tagar merupakan ideanya, sebaliknya perkara itu dibincangkan panjang lebar namun tidak diteruskan selepas mendapat bantahan penduduk setempat.

“Kita terima bantahan tersebut namun ramai yang tidak tahu kedudukan tempat yang dicadangkan adalah di luar atau pinggiran Bukit Tagar iaitu berhampiran dengan pusat penyembelihan babi yang ada sekarang,” katanya.

Pada masa sama, Izham turut menyatakan akur dengan titah Sultan Selangor, Sultah Sharafuddin Idris Shah agar projek tersebut tidak diteruskan atau dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Pada 28 Mei, Ronnie bertindak memuat naik gambar Izham di Facebook miliknya sambil menyatakan cadangan untuk menamatkan dan memindah penternakan babi ke Bukit Tagar merupakan idea ADUN Amanah itu.

Must Watch Video

Advertisement