MALAYSIA
Isu 'plot twist' kes Zara Qairina beri gambaran kebocoran fail siasatan - Peguam

Peguam dakwa kebocoran fail siasatan susulan isu 'plot twist' kes Zara Qairina.
KOTA KINABALU: Pasukan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir berpandangan bahawa penularan isu 'plot twist' sejak minggu lalu di beberapa platform media sosial, kononnya kematian pelajar Tingkatan Satu itu berpunca daripada tekanan perasaan akibat ibunya sendiri, memberi gambaran seolah-olah berlaku kebocoran terhadap fail siasatan kes berkenaan.
Ringkasan AI
- Pasukan peguam mempersoalkan penularan naratif 'plot twist' di media sosial yang menyalahkan ibu Zara Qairina, seolah-olah berpunca daripada kebocoran kandungan fail siasatan termasuk kertas yang didakwa sebagai diari mangsa.
- Surat telah dihantar kepada Peguam Negara memohon siasatan dibuka semula oleh pegawai penyiasat dari Bukit Aman, kubur digali semula untuk bedah siasat, dan inkues diadakan bagi menentukan unsur jenayah.
- Peguam menyerahkan pakaian dan barang peribadi Zara Qairina kepada polis serta menyeru agar semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh menimbulkan fitnah terhadap mangsa dan keluarganya.
"Akibatnya, integriti siasatan telah tergugat," katanya.
Sehubungan itu, pasukan peguam berkata, pihaknya telah menghantar satu surat kepada Peguam Negara memohon dan merayu perkara-perkara berikut dilakukan demi keadilan dalam kes tersebut.
"Ini supaya kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan siasatan dibuka semula, proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
"Kubur Zara Qairina dimohon digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara Qairina," katanya.
Susulan itu, mereka berharap agar Peguam Negara dapat melaksanakan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues.
Anak guam kami tidak mengharapkan kemenangan dalam siasatan, beliau hanya mahukan keadilan untuk anaknya, Zara Qairina.
"Dia sentiasa bersedia membantu pihak polis. Oleh itu, hari ini kami akan menyerahkan semua pakaian dan barang peribadi Zara Qairina yang dinyatakan kepada pihak polis.
"Polis telah menghubungi kami semalam bagi tujuan tersebut. Kami juga mengucapkan terima kasih kepada semua individu dan pihak yang menzahirkan solidariti melalui pelbagai cara termasuk perhimpunan aman mahasiswa, pengumpulan tandatangan oleh kaki pancing, penghasilan lagu, sajak, serta perkongsian di media sosial.
"Namun, dalam masa yang sama, kami menyeru agar semua pihak mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak," katanya.
Sebelum ini, pasukan peguam berkenaan mewakili Noraidah Lamat, 45, berhubung kematian anaknya yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami