TANJUNG MALIM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi berpandangan akses pendidikan daripada sekolah rendah, sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi haruslah percuma.

Namun tegas Perdana Menteri lagi, sudah semestinya ia bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hutang negara yang meningkat sekitar RM1.5 trilion ketika ini memerlukan kerajaan memberi keutamaan kepada perbelanjaan yang berhemah, dan memastikan semua sektor mendapat dana yang mencukupi.

"Pendapat saya, sepatutnya pendidikan daripada sekolah rendah hingga peringkat universiti harus percuma, itu pandangan saya, falsafah saya tentang pendidikan. Sebab pendidikan … macam keselamatan, itu tanggungjawab pemerintah, juga kesihatan.

“Cuma keadaannya sekarang, anda kena tahu bila saya diserah ke jawatan (Perdana Menteri) ini, hutang RM1.5 trillion, kalau tak bayar boleh bankrap negara. Dengan defisit 5.6 peratus, (ibarat) kalau gaji RM1,000, kita belanja RM1,600. Kerajaan tak akan boleh bertahan. Sebab itu kena buat berperingkat. Jadi golongan pelajar kena faham," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab seorang mahasiswi dalam program Dialog Mahasiswa Temu Anwar di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pada Khamis, yang mahu mengetahui sekiranya kerajaan akan menaikkan pinjaman PTPTN kepada M40 sehingga 100 peratus.

Untuk rekod, pengumuman kenaikan pinjaman itu dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada november 2022, sebelum pilihan raya umum yang menyaksikan pertukaran kerajaan.

[TERKINI] Sesi Temu Anwar UPSI


Dalam pada itu, Anwar berkata, cadangan menaikkan kadar pinjaman itu boleh dipertimbangkan, dan beliau meminta Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk mengkaji cadangan tersebut, dan membawanya kepada Kementerian Kewangan.

"Kalau ada wang cukup ok. Tapi tahun ini, melalui Belanjawan 2024, peruntukan ialah Kementerian Pendidikan … yang kedua tertinggi Kementerian Kesihatan. Itu saya terpaksa lakukan kerana hendak mutu pendidikan dipertingkatkan.

“Ada fakulti baru kita tubuhkan seperti fakulti AI (kecerdasan buatan), dan beberapa program, pembaharuan di Kementerian Pendidikan Tinggi akan kita lakukan, yang akan menelan belanja tinggi, untuk AI, transformasi digital, perubahan tenaga. Ini semua melibatkan ratusan juta ringgit tambahan,” katanya lagi.