TERENGGANU FC memandang serius terhadap insiden samun yang dialami oleh pemain Akhyar Rashid dan menjelaskan pihak polis sedang membuat siasatan.

Dukacita melanda pemain negara, Akhyar Rashid, apabila menjadi mangsa kes samun yang difahamkan berlaku di sekitar Kuala Terengganu semalam.

Menurut perkongsian dari wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, pemain pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, telah dikejarkan ke hospital terdekat bagi mendapatkan rawatan susulan.

Menerusi laman X, Terengganu mengeluarkan kenyataan yang berbunyi, "Dukacita dimaklumkan, pemain Terengganu FC, Akhyar Rashid telah menjadi mangsa samun yang berlaku sekitar jam 8.30 malam tadi.

Insiden ini menyebabkan Akhyar Rashid mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan kaki, namun beliau dilaporkan berada di dalam keadaan stabil setelah diberi rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

"Kelab Terengganu FC memandang serius terhadap perkara yang berlaku kepada beliau. Pihak PDRM juga sedang membuat siasatan terhadap perkara yang berlaku.

"Justeru itu, pihak kelab memohon agar tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi liar terhadap insiden ini bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan pihak berkuasa.

"Kami juga ingin menyeru buat para penyokong dan peminat bola sepak di seluruh Malaysia agar dapat mendoakan kesembuhan buat Akhyar Rashid!" - Stadium Astro