Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan Selangor harus berhati-hati dalam membuat apa-apa keputusan yang melibatkan usaha menangani isu sempadan kedua-dua buah daerah itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana isu sempadan Kuala Lumpur (KL) dan Selangor melibatkan banyak aktiviti (pembangunan) serta pelbagai pihak termasuk entiti persendirian di antara dua daerah itu.

Menurut beliau, mesyuarat di antara kedua-dua belah pihak akan diteruskan selepas lima mesyuarat diadakan sebelum ini dalam usaha menyelesaikan isu hingga ke akar umbi.

“Kita harus hati-hati sebab kita tak nak ada pihak yang teraniaya ataupun ada mereka-mereka yang terpaksa menanggung kerugian.

“Ia melibatkan banyak pihak jadi kita akan cuba mengurangkan kesan kepada rakyat dan paling penting juga ia dapat memastikan setiap negeri dapat dipelihara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Temu Rapat Menteri Besar Selangor Bersama Pengetua dan Guru Besar Negeri Selangor pada Jumaat.

Menjelas lanjut isu yang sama, Amirudin berkata, terdapat kawasan-kawasan tertentu dalam lingkungan KL dan Selangor yang pembangunannya kini menjadi padat dan tepu.

“Saya percaya ketika pembangunan dibuat, dia (developer) tak tengok sempadan KL atau Selangor dan saya percaya ia melibatkan banyak pihak," ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Amirudin berpendapat, penyelesaian terhadap perkara ini yang juga membawa kepada pertindihan kuasa antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengurangkan kesan terhadap rakyat dan memastikan pembangunan setiap negeri dipelihara.

Antara kawasan yang terlibat dalam isu sempadan dua negeri itu termasuk Selayang, Ampang, Gombak, Putrajaya, Sepang dan Kajang.

Baru-baru ini, Kementerian Wilayah Persekutuan berhasrat menyelesaikan isu persempadanan antara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Selangor sekurang-kurangnya pada tahun ini.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, isu berkenaan melibatkan 18 kawasan sempadan yang sehingga kini belum diselesaikan.