PUTRAJAYA: Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memasukkan bukti baharu, berkaitan rayuan berhubung SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, ketika membacakan keputusan itu berkata, kesemua usul pembelaan, yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik, mempunyai objektif untuk mewujudkan keraguan terhadap hakim bicara iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pasukan pembelaan, kata beliau, memfailkan permohonan tersebut untuk mengisytiharkan perbicaraan dan sabitan Mahkamah Tinggi ke atas Najib sebagai tidak sah, dan mohon dibicarakan semula.

Bagaimanapun, katanya lagi, panel lima hakim yang beliau pengerusikan, sebulat suara bersetuju bahawa kesemua usul tersebut adalah tidak relevan dengan pertuduhan asal ke atas bekas Perdana Menteri itu, iaitu kemasukan dana RM42 juta ke dalam dua akaun peribadi beliau.

Sewaktu membacakan keputusan tersebut, Tengku Maimun berkata, persoalan utama yang cuba diwujudkan pembelaan adalah sama ada - kedudukan Mohd Nazlan sewaktu bersama Kumpulan Maybank, iaitu sebagai setiausaha dan penasihat am, mempengaruhi penghakiman beliau berhubung kes SRC International.

“Berhubung dengan pertuduhan pertama iaitu salah guna kuasa, pemohon (Najib) telah menyalah guna kuasanya sebagai Perdana Menteri, dan Menteri Kewangan supaya jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) bernilai RM4 bilion diwujudkan bagi SRC International Sdn Bhd, dengan pemohon (seperti dituduh) untuk menyalurkan RM42 juta bagi kepentingan sendiri.

“Pemohon cuba menunjukkan bahawa Hakim Mohd Nazlan telah membuat penemuan bahawa pemohon mempunyai kawalan berlebihan terhadap SRC International, sekali gus mempunyai niat untuk mewujudkan syarikat itu bagi kepentingan sendiri,” katanya lagi.

Untuk itu, Tengku Maimun berkata, pemohon cuba memasukkan dokumen DSN-16 dan DSN-14, termasuk mendapatkan keterangan beberapa saksi.

Cubaan tersebut, menurut pembelaan, adalah bagi menunjukkan pembabitan Mohd Nazlan dalam mewujudkan SRC, serta transaksi RM140 juta pinjaman Maybank ke Putra Perdana Construction, dan RM4 bilion ke 1MDB.

Bagaimanapun Tengku Maimun berkata, panel lima hakim tidak melihat bagaimana permohonan memasukkan bukti berkenaan, mempunyai hubung kait dengan tuduhan pertama ke atas Najib, iaitu menyalah guna kuasa.

“Ingin kami nyatakan di sini bahawa kami belum lagi memeriksa ketepatan penemuan Hakim Mohd Nazlan berhubung tuduhan pertama itu. Ia hanya akan diperiksa sewaktu rayuan utama kelak.

“Tetapi pada peringkat ini, ada bagi tujuan usul ini, kami langsung tidak yakin bahawa bukti baharu tersebut dapat menunjukkan apa-apa kesan bahawa penemuan Mohd Nazlan, dalam apa jua keadaan, tercemar oleh kepentingan peribadi beliau dalam penubuhan SRC International, dan juga operasi susulan untuk menunjukkan beliau mempunyai konflik, atau menjadi hakim yang berat sebelah.

“Juga kami tidak menemui apa-apa dalam usul pemohon, bahawa Mohd Nazlan mempunyai pengetahuan khusus, atau dipengaruhi apa apa pertimbangan yang diperolehi sewaktu beliau berada di Maybank, untuk mengekalkan apa jua penemuan perundangan atau berfakta, berhubung tujuh pertuduhan terhadap tertuduh,” katanya lagi.

Selain Tengku Maimun, panel hakim turut dibarisi Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, dan tiga orang Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk P Nallini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu Tengku Maimun berkata, panel lima hakim berpendapat segala dapatan yang digunakan mohd nazlan dalam penghakiman itu, adalah berlandaskan fakta dan bukti sewaktu perbicaraan.

Selain itu, beliau berkata, mereka tidak boleh melihat hubung kait antara bukti baharu tersebut, dengan kesalahan pertama Najib, iaitu salah guna kuasa.

Justeru, Tengku Maimun berkata, pemohon atau pembelaan gagal memenuhi kriteria Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan usul bukti baharu itu diterima.

Untuk itu beliau berkata, permohonan tersebut ditolak, dan rayuan utama perlu diteruskan.

Susulan keputusan itu, Hisyam bangun untuk membuat permohonan bagi menangguhkan prosiding rayuan terakhir Najib, untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan lagi.

“Dengan penuh rendah hati, saya membuat permohonan ini. Kebiasaannya saya jarang bangun untuk memohon penangguhan melainkan pada fikiran saya ia adalah sesuatu yang benar-benar diperlukan.

“Terdapat 179 bungkusan dokumen. Ini bukan kes yang biasa, dan berdasarkan pengalaman saya selama empat setengah dekad, ada pandangan perundangan yang kukuh.

"Hujahan yang serius perlu dilakukan,” katanya lagi, sambil menafikan beliau sengaja memohon penangguhan.

Tengku Maimun kemudian menangguhkan perbicaraan seketika untuk membuat keputusan berhubung permohonan tersebut.