Setahun AKPS: Agensi baharu bentuk jati diri sendiri

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Sesi Townhall Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Setia Perkasa hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Genap setahun selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, agensi baharu di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus menempuh fasa penting memperkukuh kawalan di pintu masuk negara dengan tumpuan kepada struktur, operasi dan pembinaan jati diri pegawai di lapangan.
Ringkasan AI
- AKPS genap setahun beroperasi selepas pewartaan akta pada 17 Okt 2024, kini mengawal 22 pintu masuk negara dengan 6,215 pegawai daripada pelbagai agensi.
- Belanjawan 2026 peruntukkan pengambilan 220 veteran ATM untuk memperkukuh disiplin dan keselamatan, selain penggunaan teknologi seperti autogate dan pengimbas kargo berasaskan AI.
- Fokus AKPS ialah membina jati diri dan imej bermaruah, menyeragamkan budaya kerja, mengatasi cabaran penyelarasan, serta memperkukuh kerjasama dengan PDRM menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Mohd Shuhaily berkata setakat ini, agensi itu mempunyai 6,215 pegawai termasuk 1,053 pegawai kastam yang diserap daripada pelbagai gred untuk melaksanakan tugas pemeriksaan di pintu masuk, namun semua jawatan masih dalam peringkat penetapan skim perkhidmatan kekal dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Pegawai ini masih dikaderkan daripada agensi asal mereka seperti imigresen, kastam, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Perhilitan. Saya hanya memikul tanggungjawab terhadap operasi harian di pintu masuk negara," katanya yang menambah proses penyatuan berjalan baik walaupun tidak mudah.
Selain itu, Mohd Shuhaily berkata langkah kerajaan memperuntukkan pengambilan 220 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyertai AKPS dalam Belanjawan 2026 sebagai "suntikan roh pertahanan dan keselamatan" kepada agensi berkenaan.
"Selepas pengumuman dibuat, saya sendiri terkejut dengan sambutan luar biasa apabila ramai (veteran ATM) datang ke pejabat menghantar resume termasuk yang berpangkat Kol dan Mej. Ini menunjukkan imej AKPS diterima baik pesara ATM," katanya.
Beliau berkata pemilihan veteran ATM bukan sahaja kerana latar belakang ketenteraan tetapi juga disiplin dan semangat patriotisme yang tidak perlu dibentuk semula.
Selain menguatkan barisan hadapan, Mohd Shuhaily berkata langkah itu dapat mengurangkan kos operasi kerana veteran dipilih akan ditempatkan berhampiran kawasan tugasan, sekali gus menjimatkan perbelanjaan penginapan dan pengangkutan.
Mohd Shuhaily berkata AKPS kini turut memberi tumpuan kepada aspek teknologi bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sempadan termasuk penggunaan sistem autogate dan pengimbas kargo berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, beliau turut memberi fokus dalam membentuk "roh AKPS" supaya setiap anggota memahami matlamat dan peranan sebenar mereka melindungi sempadan negara, dengan latihan menyeluruh untuk menyeragamkan budaya kerja bagi tujuan itu sedang dirangka.
"Saya mahu AKPS menjadi agensi bermaruah dan perjuangan kita ialah untuk membina nama baik yang disegani," katanya.
Mohd Shuhaily tidak menafikan cabaran awal yang dihadapi terutama dalam penyelarasan antara agensi dan kekangan sumber manusia, namun beliau bersyukur dengan komitmen pegawai untuk terus bekerja dengan amanah dan bertanggungjawab.
"Di ibu pejabat, kami hanya ada 80 pegawai... pengarah juga memandu dan buat penyelidikan sendiri. Tetapi mereka tetap melakukannya dengan semangat luar biasa," katanya.
Berkongsi kisah 100 hari pertama di AKPS, Mohd Shuhaily mengakui proses penstrukturan itu ibarat "penyatuan dan pengambilalihan" yang memerlukan kesabaran, penyesuaian budaya dan kejelasan hala tuju.
"Saya faham perasaan agensi asal apabila pegawai mereka diserahkan kepada agensi baharu. Itu lumrah tetapi saya perlu bina keyakinan dengan kepimpinan dan hala tuju yang jelas," katanya yang dilantik Ketua Pengarah AKPS selama dua tahun dari 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027.
Beliau turut memohon bantuan Ketua Polis Negara untuk menambah pegawai berpengalaman bagi memperkukuh aspek disiplin dan keselamatan terutama di pintu masuk berisiko tinggi seperti Rantau Panjang, Kelantan dan Port Klang, Selangor serta beberapa pintu masuk di Sabah dan Sarawak.
"Saya berpandangan ada beberapa pintu masuk memerlukan kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mereka ada pengetahuan operasi yang kritikal untuk memastikan kejayaan lebih cepat," katanya sambil menegaskan kerjasama dengan agensi keselamatan lain akan terus diperkukuh.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Mohd Shuhaily berkata AKPS akan berdepan cabaran tambahan di lapangan terbang utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) namun berharap semua pihak dapat memahami keperluan prosedur keselamatan yang ketat.
"Kalau di negara luar, sebelum mendarat orang sudah berfikir sama ada hendak mengisytiharkan (barang dibawa) atau tidak. Saya mahu suasana itu berlaku di Malaysia, (ada) rasa hormat dan takut kepada undang-undang sempadan," kataya.
Mohd Shuhaily turut berkongsi harapan agar AKPS dapat berdiri kukuh sebagai benteng yang bermaruah selepas beliau tamat menerajui AKPS nanti.
"Saya mahu tinggalkan kerusi ini tanpa beban, tanpa sumpahan. Saya mahu AKPS dikenang sebagai agensi bermaruah, dihormati, dan berjiwa besar," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami