Pembangkang dinasihatkan untuk tidak mensabotaj pelaksanaan dasar Kerajaan demi kepentingan politik.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata tidak wajar untuk pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ditunda hanya kerana ia tidak diluluskan.

"Jika pelaksanaan SST tidak dapat dilakukan seperti yang dijadualkan, ia akan memberi impak kepada kewangan negara.

"Saya rasa ia tidak wajar kerana kutipan SST akan memberi impak kepada keadaan fiskal kewangan negara," kata Guan Eng ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta respon kepada kemungkinan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 tidak diluluskan di peringkat Dewan Negara.

Ketika ini, Dewan Negara masih dikuasai senator dari Barisan Nasional (BN).

Berdasarkan portal Parlimen, daripada 51 orang senator, hanya sembilan dari parti komponen Pakatan Harapan (PH) berbanding 28 daripada wakil BN.

Selain itu, terdapat tiga senator mewakili Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) (tiga), Gerakan (dua) manakala Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) pula mempunyai seorang wakil.

Tiga lagi senator pula mewaki­li masyarakat Siam, Orang Asli dan Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka dilantik oleh BN sebelum ini.

Sebelum ini, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad berkata, Dewan Negara tidak akan menjadi tempat untuk para senator berbahas dengan emosi.

Katanya, walaupun bilangan senator yang dilantik oleh BN melebihi jumlah yang dilantik oleh kerajaan PH, itu tidak bermaksud rang undang-undang akan sengaja ditolak.