KUALA LUMPUR: Pas menyeru semua masyarakat agar tidak mengambil tindakan membabi buta atau di luar kawalan susulan insiden kontroversi melibatkan stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Super Mart, baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata parti Islam itu berpendirian agar tindakan tegas perlu dikenakan kepada rangkaian kedai serbaneka itu sebagai memberi pengajaran kepada syarikat-syarikat lain.

Begitu pun, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut menegaskan proses tersebut perlu mengikut lunas undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.

"Kita yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Jangan ambil atau buat tindakan sendiri kerana selalunya kita akan melampaui batas. Apa yang kita perlu lakukan ialah melalui saluran demokrasi dan undang-undang," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata tidak semua perkara boleh dipolitikkan walaupun setiap orang mempunyai hak untuk bersuara termasuk melibatkan kedaulatan Islam yang terkandung dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

"Setakat ini saya lihat melalui saluran demokrasi, tidak ada tindakan luar kawal atau luar batas yang dikenakan kepada pengusaha KK Mart ini. Saya nampak Pas kita jelas, kita buat satu kenyataan media dan kita menyeru supaya pihak rakyat bertenang dan menunggu ketetapan yang dikenakan oleh pihak berkuasa lain.

"Pihak lain (parti), dia ada cara dia untuk luahkan dan pandangan. Pada saya, ini cara untuk kita menghormati kebebasan bersuara dalam keadaan dia tidak melampaui daripada ketetapan undang-undang.

"Jadi jangan pula bila kita berbicara tentang memperkasa ataupun mempertahan kalimah Allah yang dimulia ini, mengatakan kita ini lebih kuah daripada nasi ataupun kita melampaui batasan politik, sedangkan perkara itu tidak pada tempatnya," tambah beliau.

Sementara itu, Khairil Nizam yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas berpandangan tindakan boikot terhadap KK Mart yang dilakukan oleh segelintir pihak dibuat atas asas kesedaran masing-masing.

Dalam masa sama, beliau menyarankan pengusaha perniagaan agar memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) masing-masing  bagi mengelakkan hal sedemikian berulang.

Hari ini, sebuah lagi kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu lalu di Kuantan, Pahang diserang dengan 'molotov cocktail' pada jam 5.14 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata lontaran bom itu menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.