KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah merakam percakapan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee pada Selasa di Ipoh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Howard disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

Selain itu, beliau juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkait kenyataan didakwa menghina agama Islam dengan membuat tafsiran terhadap Surah An-Nisa, ayat 59.

Menurut Mohd Shuhaily, kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat, selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform tersebut dengan menyalahi undang-undang berhubung isu 3R.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan Howard Lee tampil membuat permohonan maaf berhubung dakwaan ke atas dirinya yang membuat tafsiran al-Quran selepas isu itu menjadi tular di media sosial sejak seminggu.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu bagaimanapun berkata tindakannya itu bukan menafsir sebaliknya hanya memetik ayat al-Quran sebagaimana yang dimaklumkan pihak yang lebih arif kepadanya terlebih dahulu.

Menurutnya beliau secara peribadi akan merujuk kepada mana-mana pihak yang lebih arif sebelum membuat sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkara yang bukan dalam bidang mahupun kepakarannya.