Surat kuasa wakil penuh (PA) untuk memajukan tanah Felda di Jalan Semarak untuk membangunkan Kuala Lumpur Vertical City (KL) ditandatangani oleh bekas pengerusi dan juga pengurus besar Felda pada ketika itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata pendedahan maklumat itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak.

"Kita zaman sekarang tidak boleh sembunyi-sembunyi pun, banyak benda akan terdedah. Sekarang saya jawab di Parlimen, PA tersebut ditandatangani oleh pengerusi Felda dan pengurus besar ketika itu.

"Maknanya (pendedahan) ini bukan bertujuan tentukan siapa betul, siapa salah kerana siasatan masih berlangsung," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci nama-nama individu yang menandatangani PA tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR - Indera Mahkota) yang bertanyakan siapakah yang menandatangani PA tanah tersebut.

Kenyataan Razali itu sekaligus menafikan kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebelum ini bahawa transaksi melibatkan tanah itu berlaku bawah kepimpinan pengerusi Felda sekarang, Tan Sri Shahrir Samad.

Razali menegaskan, kes tersebut masih lagi dalam siasatan audit forensik dan terdapat banyak syor serta penemuan yang didapati dalam siasatan tersebut.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, sebanyak 240 dokumen telah diambil untuk siasatan, termasuk minit mesyuarat lembaga pengarah.

Minggu lalu, Felda mengesahkan telah mendapat kembali kesemua 16 lot tanah Jalan Semarak di Kuala Lumpur yang sebelum ini bertukar tangan kepada syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Menurut Shahrir, hak Felda untuk mendapat kembali tanah tersebut adalah sebahagian daripada perjanjian baharu dengan syarikat itu pada 15 Januari lalu.