Isu tarif boleh diselesaikan melalui perbincangan berterusan - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar berucap pada Forum Perniagaan bersama Peneraju Industri Afrika Selatan di Johannesburg pada Jumaat. - Gambar Bernama
JOHANNESBURG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tarif dengan Amerika Syarikat (AS), berdasarkan pengalaman Malaysia, boleh diselesaikan melalui perbincangan berterusan.
Sebagai sebahagian daripada strategi Malaysia dalam mempelbagaikan ekonomi dan hubungan perdagangannya, termasuk memperkukuh hubungan dengan AS dan China, Anwar berkata, beliau telah menjemput Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva sebagai tetamu pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober lepas.
"Dan juga rakan baik anda, Presiden Donald Trump, serta perbincangan telah menjana hasil," kata beliau berseloroh pada Forum Perniagaan bersama Peneraju Industri Afrika Selatan di sini, menarik perhatian para peserta kerana Afrika Selatan antara negara yang dikenakan tarif tinggi oleh Washington.
Sebanyak 200 syarikat menyertai forum itu di sini hari ini.
AS telah mengenakan tarif unilateral sebanyak 30 peratus ke atas kebanyakan barangan Afrika Selatan, yang berkuat kuasa pada 7 Ogos 2025.
Anwar, yang berada di sini untuk Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai tetamu berkata: "Saya telah membuatkan beliau (Trump) menari dan rehat seketika serta menyelesaikan masalah (untuk Malaysia)."
Tarif timbal balas untuk Malaysia telah dikurangkan kepada 19 peratus daripada 24 peratus sebelum ini.
Perdana Menteri berkata dalam pertemuan dua hala beliau dengan Ramaphosa, beliau telah berkongsi pandangannya bahawa isu tarif boleh diselesaikan.
"Saya menjelaskan kepada Presiden Ramaphosa bahawa mereka perlu terus berbincang. Saya memberitahu Presiden supaya jangan bimbang. Saya memberitahu beliau, jemput beliau (Trump) datang ke sini seperti yang saya lakukan, buat beliau menari dan rehat. Dan selesaikan isu itu," kata beliau.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, akhirnya ia bergantung pada perdagangan, yang sama penting bagi AS dan Malaysia serta Afrika Selatan.
"Saya percaya ini boleh diselesaikan. Begitulah cara saya mengatasinya. Saya seorang yang optimis," kata beliau, sambil menambah apa yang penting ialah keperluan untuk kekal fokus dan jelas dari segi dasar ekonomi serta melaksanakannya dengan cekap.
AS, yang merupakan pengerusi G20 seterusnya telah mengubah pendirian sebelum ini untuk tidak menghadiri sidang kemuncak tersebut.
"Kami telah menerima notis daripada AS mengenai penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20. Perbincangan sedang dijalankan," umum Ramaphosa di platform media sosialnya semalam.
Bagaimanapun, tiada pengesahan sama ada Trump sendiri akan hadir atau akan menghantar wakil.
Anggota G20 ialah Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom, AS, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
G20 pada tahun ini adalah yang pertama di benua Afrika.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


