Isu terowong dasar laut: Lebih ramai lagi akan dipanggil SPRM

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 10, 2018 07:52 MYT
SPRM tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai individu bantu siasatan. - Gambar fail Bernama
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai individu untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, buat masa ini, pihaknya telah menahan dua individu bergelar ‘Datuk’ bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Siasatan masih di peringkat awal dan pasukan penyiasat masih mengumpul bukti berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan projek mega yang mencetuskan pelbagai kontroversi sebelum ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Rabu.
Hari ini, dua individu berkenaan masing-masing direman selama enam hari di Mahkamah Majistret Georgetown dan Putrajaya.
Kedua-duanya di reman bagi membantu siasatan mengikut Sesyen 16 Akta SPRM 2009.
BACA: Isu terowong dasar laut: Timbalan Pengerusi syarikat direman
BACA: Lelaki bergelar Datuk direman enam hari
#Azam Baki #dasar laut #Rasuah #SPRM #terowong