Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan seorang penganalisis politik yang berkata beliau cuba menarik perhatian masyarakat dengan membawa usul transgender pada Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada akhir bulan ini.

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO, kita banyak bangkitkan isu yang menyentuh masyarakat Melayu dan Islam. Takkan soal undang-undang Islam tidak boleh dibincangkan?

“Kalau Perhimpunan Agung UMNO tidak boleh bincang isu agama, apa lagi yang kita boleh bincangkan?” tanya Khairy pada Ahad.

Tambahnya, Pemuda UMNO juga bakal membangkitkan isu undang-undang syariah pada perhimpunan sayap Pemuda.

Isu yang bakal dibangkitkan bakal menyentuh soal bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

“Isu itu akan dibangkitkan merujuk kepada kes terbaru yang melibatkan semakan yang dibuat oleh tiga individu terhadap Enakmen Syariah Negeri Sembilan (Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992).


Sebelum ini, penganalisis politik, Profesor Ahmad Atory Hussain berkata Khairy hendak menjadikan isu agama yang sensitif sebagai antara usul sayap Pemuda.

"Khairy sendiri ahli politik, tetapi bertindak lebih daripada ulama, dia hendak nampak hebat dengan membawa isu sebegini," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Khairy turut berkata cadangan untuk menaik taraf kedudukan mahkamah syariah agar setaraf dengan mahkamah sivil akan dibahas pada Perhimpunan Agung UMNO.

“Ia adalah satu cadangan yang perlu dipertimbangkan. Saya pasti ia akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung UMNO agar tiada konflik diantara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Kita juga harus memastikan agar bidang tugas mahkamah-mahkamah ini jelas supaya tidak ada kekeliruan tentang bidang kuasa setiap mahkamah,” katanya yang ditemui selepas merasmikan acara penutupan Konvensyen Belia Kebangsaan Sri Murugan Centre di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya petang Ahad.

Sementara itu, dalam ucapannya, Khairy memuji NGO berkenaan yang berjaya melahirkan belia India yang berpendidikan tinggi dan berjaya dalam bidang masing-masing.

“Setiap rakyat Malaysia boleh memenuhi potensi mereka tidak kira apa potensi itu. Yang penting mereka diberi peluang untuk memenuhi potensi berkenaan,” katanya.

NGO yang ditubuhkan pada 1982 telah menyentuh seramai 240,000 belia India terutamanya dalam bidang pendidikan.