KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mempertahankan kod etika pakaian di premis pejabatnya sebagai 'amalan baik' yang telah lama dipraktikkan.

Namun, mengulas mengenai insiden seorang pelanggan wanita yang tidak dibenarkan memasuki pejabat SSM di Ipoh atas faktor pakaian, SSM berkata, pihaknya kesal dengan insiden itu.

“SSM amat kesal dengan insiden yang berlaku ini dan bersedia menerima cadangan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada semua pelanggan.

“Pelaksanaan kod etika berpakaian semasa berurusan di kaunter-kaunter perkhidmatan SSM telah lama diamalkan dan merupakan amalan baik dengan mengambil kira perkhidmatan yang disampaikan melibatkan semua lapisan masyarakat di negara ini, seperti mana di agensi-agensi perkhidmatan awam yang lain,” kata SSM dalam satu kenyataan.

Dalam video yang tular di media sosial sejak Jumaat, seorang kakitangan SSM dilihat tidak membenarkan pelanggan wanita memasuki pejabat SSM di Ipoh kerana dikatakan tidak mematuhi kod etika pakaian yang ditetapkan.

Wanita tersebut bertanya kepada kakitangan itu tentang ciri-ciri pakaiannya yang melanggar garis panduan, namun diberitahu bahawa hal itu boleh dibangkitkan semula dengan pegawai atasan.

Menurut laporan The Star, wanita tersebut yang dikenali sebagai Khor Hooi Chin, 41 tahun, tiba di pejabat SSM pada 11 pagi Jumaat sebelum diberitahu bahawa dia tidak dibenarkan memasuki pejabat itu.

Dia kemudian terpaksa membeli pakaian baru dan menunggu sehingga pejabat SSM dibuka semula pada jam 2.45 petang sebelum dibenarkan memasuki premis tersebut.

Ini merupakan insiden terbaharu membabitkan wanita dilarang memasuki premis kerajaan atas alasan pelanggaran kod pakaian.

Baru-baru ini, beberapa insiden sama didakwa berlaku antaranya di pejabat Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.