MALAYSIA
Isu ugutan video lucah terhadap Ahli Parlimen disiasat polis - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media pada Hari Bersama Komuniti Dan Perasmian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Isu beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa menerima ugutan video lucah kini berada di bawah siasatan polis, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Rafizi Ramli, Wong Chen dan Dr Taufiq Johari menerima ugutan melalui e-mel yang mendakwa mereka terlibat dalam video lucah palsu bersama seorang lelaki, dengan tuntutan wang tebusan sebanyak AS$100,000 (RM470,000).
- Video tersebut dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bertujuan untuk menjatuhkan maruah serta menggodam peranti elektronik milik mangsa.
- Polis dan MCMC sedang menjalankan siasatan, dengan MCMC bertindak sebagai agensi teknikal. Mangsa telah membuat laporan polis dan menyeru masyarakat agar berwaspada terhadap penipuan siber yang semakin canggih.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.
Fahmi berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menerima ugutan video lucah kononnya membabitkan dirinya dan seorang lelaki, yang dikirim melalui e-mel tidak dikenali pada Jumaat lepas.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pengirim turut memeras ugut beliau wang AS$100,000 (RM420,000) sekiranya tidak mahu video berkenaan disebarkan selain Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut menerima e-mel ugutan sama.
Terbaharu, Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari turut mendakwa menerima ugutan sama serta menegaskan video disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan integriti beliau.
Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, Fahmi berkata kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan telah mengarahkan MCMC bekerjasama rapat dengan PDRM bagi mengesan serta menjejak penjenayah yang menghantar e-mel ugutan itu melalui aplikasi Gmail (syarikat Google).
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.
Jelasnya, segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat.
"Kerajaan menegaskan bahawa menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
"Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali," katanya yang turut menerima e-mel sama.
Menurut Fahmi, hasil semakan mendapati e-mel berkenaan menggunakan ayat hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar daripada alamat e-mel yang sama.
Antara wakil rakyat yang menerima e-mel tersebut ialah Wong Chen (Ahli Parlimen Subang); Dr Mohammed Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani); Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Najwan Halimi (Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor); Senator Manolan Mohamad; Wong Chia Zen (ADUN Kulim); dan Dr Mohammad Fahmi Ngah (Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami