KUALA LUMPUR: Dua pegawai agensi penguat kuasa yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Bangladesh ditahan reman tiga hari kerana disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran visa luar negara dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Perintah reman sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya, Selasa lalu.

Menurut sumber, penahanan itu dilakukan selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek.

Justeru sumber berkata, mereka diarahkan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes tersebut serta merta.

Tambah sumber, lebih 20 akaun bank yang melibatkan individu dan syarikat berkaitan telah diambil tindakan pembekuan.

"Sehingga hari ini, jumlah pembekuan akaun dan penyitaan harta alih dan tak alih yang melibatkan penyitaan lapan bidang tanah, dianggarkan kira-kira RM3.1 juta," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

“Saya tidak menolak kemungkinan akan terdapat lagi beberapa tangkapan lain yang akan dibuat selepas ini,” kata beliau.

Tambah beliau, SPRM juga sedang mengesan seorang individu bernama Siti Liyana Binti Sakijan untuk membantu dalam siasatan ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai wanita tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Jayaraj Rajan di talian 016-6371082.