BERANANG: "Bila hari Ahad saja memang macam negara mereka," luah penduduk di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini.

Hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 30-an, beliau yang sudah menetap lebih tujuh tahun di kawasan itu mendakwa warga asing terlalu ramai mendiami kawasan tersebut dari zamannya bujang hinggalah berkeluarga.

"Di sini ramai Nepal, Bangladesh, Myanmar. Buat bising, mabuk, meludah itu biasa.

"Mereka ini siap ada kedai runcit, kedai makan macam negara mereka sendiri.

"Bila jumlah (warga asing) yang ramai, mereka menyebabkan penduduk tempatan menjadi tidak selesa dan kami pula berasa seolah-olah di negara luar," katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa Operasi Penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini pada Sabtu.

Operasi bermula kira-kira jam 12.05 tengah malam itu turut disertai Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sinar Harian yang menyertai operasi terbabit mendapati terdapat penghuni warga asing itu enggan memberi kerjasama membuka pintu hingga anggota imigresen terpaksa mengumpil dan memotong kunci.

Setiap blok bangunan itu terdiri daripada lima tingkat dengan terdapat lebih 20 unit rumah di setiap tingkat.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagi tempoh 1 hingga 18 Januari ini, sebanyak 870 operasi dilaksanakan dan 9,169 warga asing diperiksa seluruh negara.

"Hasilnya, 4,026 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selain tangkapan 42 majikan.

"Selain PATI, kita juga fokus pada majikan di mana kita akan ambil tindakan tegas kepada majikan dan boleh disiasat bawah Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya.

Tambah Ruslin, tahun lalu, sebanyak 38,978 PATI telah diusir, manakala tahun ini setakat 17 Januari membabitkan pengusiran 1,467 PATI.

"Tindakan berterusan JIM akan dibuat seluruh Malaysia tidak kira siang atau malam dalam memastikan semua warga asing di sini memiliki dokumen, pas kerja yang sah serta apa sahaja pas yang dikeluarkan jabatan," katanya. - Sinar Harian